Punk Rock No 1 Malaysia Trophy Knives Terus Megah Lancar Video Baru ‘Nauseous’

oleh Iscandarz
555 views

Walaupun dalam era pandemik, ia tidak menghalang jagoan punk rock tanahair Trophy Knives untuk terus kental mara ke hadapan.

Setelah video klip lagu ‘We Can’t Be Saved’ yang turut menampilkan Chris #2 (Anti-Flag) dan EP ‘Look the Other Way’ pada tahun lepas, mereka terus mengorak langkah dengan video klip terbaru bagi lagu ‘Nauseous‘ yang dipetik daripada EP mereka.

Saksikan ‘Nauseous‘:

Video klip yang dikatakan mendapat geran penajaan daripada agensi Cendana itu menampilkan mesej yang berkonsepkan protes sosial – sangat sesuai dengan punk rock. Mendapat sentuhan dan diarahkan oleh Nadeem Salam, orang kuat Skesh Entertainment, video jelas menggambarkan visual yang diilhamkan daripada gerakan-gerakan jalanan dan demokrasi.

Lagu ‘Nauseous’ sendiri sangat antemik, stroke drum antara yang terbaik kedengaran bagi rekod-rekod punk rock tempatan manakala kekuatan vokal yang menggabungkan antara emo dan hardcore punk.

Ia antara salah satu daripada 11 lagu yang bakal dimuatkan dalam album penuh mereka dijadualkan keluar pada bulan November depan.

Dalam petikan oleh Harian Metro, vokalis Vinesh dikatakan sebagai berkata kebanyakan lagu-lagu mereka memang lagu protes dan kritikan sosial terhadap isu-isu semasa seperti diskriminasi terhadap kaum minoriti.

Trophy Knives adalah antara barisan band-band punk rock seluruh dunia yang menyokong dan berdiri teguh di belakang gerakan Black Lives Matter (BLM) seperti Anti-Flag, Rise Against, Simple Plan, Travis Barker dan All Time Low.

Mereka kini jelas memperlihatkan status sebagai Punk Rock No. 1 di Malaysia dengan mesej-mesej lirikal sosial yang agresif, vokal padu yang versatil dan konsep yang mencapai standard antarabangsa.

Trophy Knives ialah band berbilang kaum punk rock hardcore yang dibarisi oleh Vinesh Muniandy (vokal), Ryan Lee (drum), Sani Khalid (gitar) dan Syamir (bass).

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati