Kepada penggila bunyian fuzz yang sendat dan berkeladak, puaskan halwa telinga kalian dengan produk terbaharu dari Batu Gajah/ Ipoh ini. Raksar yang baru ditubuhkan pada tahun ini secara rasmi Melakar buah tangan pertama mereka pada 25 Disember lepas.
Kugiran rock ini dibarisi Azzim luqman sebagai vokalis dan pemain gitar (juga pemain gitar band metal Cycryptic), Md Shahfari (E) sebagai pemain bass dan dibantu oleh rakan seperjuangan mereka Afiq (Apek), Awie Joe dan Dani sebagai sessionist drum dan gitar.
Tidak boleh tidak, lagu-lagu bernuansa stoner rock sebegini pastinya akan mengingatkan kita kepada maharaja Black Sabbath atau paling tidak band-band revival di rantau ini seperti Kelompok Penerbang Roket, The S.I.G.I.T., Marijannah, Speedwitches, Keladak, Berdosa, Tripping Haze Ceremony dan banyak lagi. Namun, pada pendapat penulis, sound signature Raksar tidaklah terlalu berat dan ekstrim sekaligus berpotensi menarik minat telinga pendengar-pendengar baharu yang kurang biasa dengan stail ini. Senang cerita, Raksar mengingatkan penulis kepada Zip Zieller dengan EP Volume 6 mereka.
Melakar juga didatangkan dengan video muzik yang menarik. Berlatar belakangkan Ipoh serta tema pilihan dalam kehidupan, ia bertindak balas secara kimia dengan lagu yang hanya punya satu rangkap lirik ini. Ringkas tapi tepat ke sasaran! Oh ya, homage Ultraman yang turut diselitkan juga amat kemas dan memberi input nostalgia kepada penonton.
Dunia bebas,
Melakar kertas,
Jatuh terjerat,
Hanyut dan lemas.
Menurut mereka, sebuah EP bakal diterbitkan pada tahun hadapan dan penulis harap garapan muzik Raksar selepas ini lebih mantap dan menawarkan sesuatu yang berbeza serta segar sekaligus memberi lebih warna kepada industri muzik kita yang tercinta ini.
Ikuti Raksar di: