Baru-baru ini, kolektif tempatan yang bergiat aktif sejak tahun 2006 mengumumkan bahawa mereka bakal kembali dengan siri acara Rantai Art Event. Rantai Art Event merupakan sebuah siri acara yang bakal berlangsung selama empat minggu berturut-turut di MyGround, MyTown Shopping Centre.
Seperti yang dimaklumkan mereka, Rantai Art Event bakal bermula pada tanggal 14 Januari 2022 sehingga 6 Februari 2022 pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad setiap minggu, bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.
Jika dibandingkan dengan Pasar Raya Rantai dan Pesta Ke’chill Rantai yang jalankan pada bulan April dan Oktober tahun 2021, Rantai Art Event pada kali ini bakal dijalankan di kawasan yang baru sahaja dibuka oleh pihak pengurusan MyTown Shopping Centre untuk para pengunjung. Para Pengunjung tidak lagi perlu ke Aras 3 untuk berkunjung ke acara Rantai Art, hanya perlu bergerak di sekitar Aras G.
Untuk acara kali ini, Rantai Art membawakan set akustik, sesi bacaan puisi, bengkel seni, pameran seni, dan beberapa gerai jualan seni dan kudapan. Rantai Art menjanjikan kandungan yang berbeza pada setiap minggu agar para pengunjung dapat disajikan dengan pengalaman yang lebih kreatif dan inovatif.
Sekiranya anda berminat terhadap seni tenunan dan jahitan, atau anda ingin belajar asas seni tersebut, ini merupakan peluang yang terbaik bagi anda kerana terdapat bengkel seni tenunan dan jahitan bersama Auntie Fruitcake di Rantai Art Event. Luangkan hujung minggu anda dengan menghadiri bengkel tenunan selama satu jam 30 minit sambil ditemani open mic session oleh barisan artis tempatan.
Rantai Art juga telah mengumumkan di laman media sosial mereka sebahagian barisan persembahan yang bakal bersama mereka untuk minggu pertama nanti. Antara yang bakal hadir menghiburkan para pengunjung di sana adalah Aiman Cisco, Sunday, Meteorix, Rina Hime, Fuze, serta Kabus. Sepertinya banyak lagi barisan persembahan yang belum di umumkan oleh Rantai Art.
Sekiranya anda berminat untuk turut serta di dalam Rantai Art Event sebagai sebahagian sesi persembahan, pameran, bengkel atau gerai jualan, boleh hubungi mereka di laman media sosial rasmi mereka di twitter dan Instagram. Juga ikuti akaun Twitter dan Instagram mereka untuk kemaskini terbaru mengenai Rantai Art Event yang bakal menjengah tidak lama lagi.