Ratu Sape’ Bumi Kenyalang, Alena Murang Luncur Album Sky Songs

oleh Rahmat Mohd Did
2.3K bacaan

Selepas kejayaan album sulung berjudul Flight pada tahun 2016, penyanyi dan pemain sape’ Alena Murang membawa nada baharu dalam album kedua mengandungi lapan trek, Sky Songs.

Diinspirasi daripada cerita-cerita nenek moyangnya yang tinggal di langit dan di bumi, album ini merupakan sebuah perjalanan melewati kosmos; sebuah lagu untuk sang pahlawan yang melihat kabus pada pagi hari pertempuran; sebuah lagu melihat awan dan mengetahui bahawa itulah masa yang terbaik untuk berhijrah; sebuah lagu meratap guruh dan sang bulan.

Alena baru-baru ini turut merilis dua single, Gitu’an dan Meno’ yang terdapat dalam album ini.

Dalam album ini juga terdapat dua lagu instrumental, satu lagu dalam

Bahasa Kenyah, empa lagu dalam Bahasa Kelabit, dan buat pertama kali, sebuah lagu Inggeris. Bahasa Kenyah dan Kelabit merupakan dua bahasa yang semakin pupus di Malaysia.

Bercakap tentang pelancaran album terbaharunya, Alena berkata, “Album ini dinamakan Sky Songs kerana ia merupakan sebuah representasi nenek moyang kita dan bagaimana kehidupan kita di bumi ini amat suci. Ada cerita-cerita tentang kehebatan nenek moyang kita yang dahulunya tinggal di langit dan turun ke bumi melalui air terjun. Dan kini, apabila kita mendongak ke langit dan melihat kepulan awan putih, atau bintang-bintang bergemerlapan, mahupun kegelapan, ia mengingatkan kita untuk terus berpijak di bumi dan hidup sebagai sebuah komuniti dengan setiap makhluk bumi kerana kita saling memerlukan.

“Nenek moyang kita juga mempunyai hubungan istimewa dengan alam semesta, dari matahari ke langit, pokok-pokok dan kesemua hidupan. Mereka mengatakan bahawa langit itu umpama ‘kubah pelindung matahari yang besar’ dan semua hidupan di bumi hidup di bawahnya. Dan kerana itu jugalah saya memilih untuk menyanyi dalam Bahasa Kenyah dan Kelabit demi memastikan ia tidak hilang ditelan zaman. Bahasa itu mewakili kepelbagaian perkara yang berlaku dalam sesebuah kehidupan – termasuklah individu dan komuniti, serta persepsi kita terhadap realiti dan kehidupan. Maka dengan itu, album ini merupakan salah satu cara saya untuk memastikan warisan kita yang indah ini dapat dipertahankan dengan harapan agar anak-anak kita dan generasi hadapan dapat menerima dan menghargainya.”

“Saya juga sangat gembira dengan pelancaran album ini. Terima kasih untuk semua yang terlibat dalam pembikinan album – ahli kumpulan saya – dan terutama sekali untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) kerana menyokong penggiat seni tempatan menerusi Dana Kandungan Digital (DKD), serta Yayasan Budaya Dayak Sarawak.”

Alena, yang turut terlibat dalam projek Roads To Our Heritage bersama-sama dua lagi kugiran tempatan, Estranged dan Stonebay, bermatlamat untuk membawa cerita tentang masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak, terutamanya pembuat alat muzik tradisional. Dengan berkongsi cerita-cerita seperti yang disampaikan oleh penjaga warisan asli, mereka berharap agar usaha ini dapat meningkatkan minat orang ramai, tanpa mengira usia, di dalam dan luar negara dalam melestarikan budaya Malaysia Timur.

Kugirannya semakin berkembang dari segi ahli dan juga bunyi-bunyian sejak beberapa tahun kebelakangan, dengan menampilkan bunyian baharu dengan pengaruh berbeza, dalam sebuah genre muzik yang agar sukar untuk disampaikan, namun paling hampir dengan genre folk pop, folk rock atau mungkin juga world music.

Diterbitkan oleh sepupunya Joshua Maran, beberapa ahli muzik lain turut menyumbang kepada album ini antaranya Jonathan Wong Ketshin, Herman Ramanado, Jimmy Chong, Derrick Siow dan Niko Coyez.

Alat muzik yang digunakan dalam album ini merupakan alat muzik asli Borneo, termasuklah Sape’, Tubong, Pagang, tikar rotan, dan juga beberapa alat muzik budaya seperti dram taiko, cowbells dan beberapa alat muzik biasa seperti gitar, gitar bass, kit dram dan serunai konsert.

Album fizikal Sky Songs disertakan bersama sebuah buku lirik lagu dengan terjemahan Bahasa Inggeris, cerita dan gambar-gambar tanah tinggi langit. Penerbitan album ini juga disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Yayasan Budaya Dayak Sarawak.

Anda kini boleh menempah CD dan kaset Sky Songs daripada Tandang Stores (www.tandangstore.com). Album ini akan dirilis di platform digital pada bulan Mei 2021 di bawah label Taiwan, Wind Music.

Untuk perkembangan terkini Alena Murang, sila ikuti di platform media sosial berikut:

Facebook

Twitter

Instagram

Website

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅