Jika kalian mencari wajah baharu muzik Malaysia yang bernuansa santai dengan sedikit sentuhan abstrak, Jakuzi adalah jawapannya. Kugiran ini baru sahaja melancarkan single pertama mereka yang bertajuk Draimolen di semua pentas digital termasuk video lirik di saluran YouTube rasmi mereka pada 21 Mac 2021.
Jakuzi adalah kugiran 4-serangkai yang terdiri daripada Bain (vokal/gitar), Haris (dram), Ijaz (gitar utama) dan Ajim (bass/vokal harmoni) dan bertapak di Lembah Klang. Mereka dipengaruhi kugiran-kugiran seperti The Beatles, The Strokes, Blur, OAG, Spider, Blink-182, Nirvana dan segala angkatan muzik rancak yang lain. Mereka juga lebih selesa dikategorikan sebagai anjing bawahan (underdog) kerana faktor usia yang baru setahun jagung.
Cukuplah sudah cerita tentang mereka yang kacak ini. Mari kita bedah siasat material mereka yang pertama ini pula dan seperti biasa, penulis akan meneliti dari sudut lirik, bunyi, susunan lagu dan kualiti keseluruhan.
Kita mulakan dengan lirik. Kali pertama membaca lirik lagu ini, penulis tak boleh boleh brain lagi. Kali kedua baca barulah boleh diterima akal. Penulis menyukai bait-bait lirik Draimolen yang boleh dikatakan teknikal namun punya isi yang tersendiri. Bait-bait lirik mereka yang berbunyi “Nani (O) Nani/ Merasa sangsi/ Di dalam kubikel/ Tangisi pemergianku” sungguh mengejutkan penulis di saat mencerna lirik sebegini rupa.
Kedua, di bahagian bunyi. Bunyian guitar dan bass digarap dengan baik dan cukup berlemak. Penulis agak tertarik pada bunyi dram yang mereka sampaikan kerana walaupun dirakam menggunakan teknik miking yang minimal, namun hasilnya masih boleh diterima. Cuma penulis berpendapat lebih baik rekod drum di studio jika mempunyai wang yang cukup serta persediaan yang baik agar tidak ‘kacip’ di waktu rakaman. Ini kerana bunyi drum merupakan elemen paling utama dalam memastikan corak lagu sentiasa tersusun dari awal sehingga akhir. Dan untuk vokal pula, Bain menyampaikan vokal beliau dengan sangat tenang dan dipersembahkan dengan baik serta sesuai dengan melodi lagu yang ditulis.
Seterusnya, di bahagian susunan lagu. Single ini boleh dikatakan easy listening dan mudah menarik perhatian pendengar. Cara lagu ini berlangsung agak straightforward dan tidak terlalu teknikal. Kata orang, less is good. Secara jujur, penulis menyukai cara Jakuzi yang kaki langar dalam memastikan setiap projek yang dijalankan menjadi kenyataan. Filosofi Jakuzi dalam bermuzik lebih tertumpu pada lagu fast numbers, pop rock santai, dan dikahwinkan dengan sedikit eksprementasi skala kecil atau sesuatu yang mereka panggil Soda Pop di samping unsur lirikal yang abstrak, mengangkat tema kegelisahan pasca moden dari sudut pandang ‘tragedi-adalah-komedi.’
Yang terakhir, semestinya di bahagian kualiti. Menurut mereka, proses rakaman Draimolen ini dilaksanakan di kediaman persendirian Bain yang diberi nama Living Circus INC. Walaupun ini kali pertama Bain ditugaskan untuk merakam, mengadun dan mastering, hasilnya agak baik dan sekata di telinga penulis. Akan tetapi, untuk masa hadapan jika mempunyai dana yang secukupnya, bolehlah hantarkan material seterusnya ke studio yang mantap agar produk akhirnya lebih baik dan cantik.
Konklusinya, produk pertama mereka ini merupakan sebuah pembuka bicara yang wajar dipuji. Tahniah buat Jakuzi. Semoga kita bakal bertemu di mana-mana pentas kerana penulis ingin melihat mereka beraksi. Penulis mendoakan agar kalian sukses di masa hadapan dan lagu-lagu seterusnya bakal menjadi siulan dalam kalangan masyarakat. Adios!!!
Jakuzi sedang meneruskan perjalanan tersusun yang panjang pada 2021 dan merancang untuk mengeluarkan EP pada hujung tahun ini. Dengan jadual rakaman dan latihan yang sangat padat, terang lagi bersuluh, Jakuzi ingin menjadi sebuah kugiran yang merayau lama dalam landskap muzik Malaysia.
Ikuti Jakuzi di: