Sedar tak sedar, tahun ini adalah tahun ke 21 mendiang Aaliyah mati akibat kecelakaan nahas pesawat lalu meninggalkan ruang kosong yang tiada galang gantinya di dalam persada muzik antarabangsa. Kejadian tragis ini telah melahirkan pelbagai teori konspirasi dari pelbagai pelusuk namun kali ini penulis bukanlah mahu meneruskan spekulasi teori tersebut tetapi meraikan legasi yang ditinggalkan oleh beliau. Kebetulan minggu ini adalah minggu ulangtahun single rasmi pertama dari album tersebut, We Need A Resolution dan bermulalah era self-titled atau ‘The Red Album’ seperti yang diketahui adalah lembaran terakhir buat beliau.
http://https://www.youtube.com/watch?v=78YDlgZfPus
Diriliskan pada tanggal 13 April 2001 oleh Blackground dan Virgin Records, lagu ini sebenarnya bukanlah pilihan utama untuk mengemudi era ‘merah’ ini malah sebenarnya hampir tidak wujud pun. Lagu Loose Rap bersama Static Major (RIP Static) pada asalnya dipilih sebagai single pertama sebelum kemunculan di saat akhir Timbaland diatas permintaan Aaliyah sendiri. Blackground akhirnya memilih We Need A Resolution kerana ingin meneruskan kesinambungan style muzik beliau yang ketika itu berada di puncak selepas baru sahaja mendominasi dengan Try Again. Gandingan beliau bersama Timbaland amatlah serasi dan berhasil menghasilkan satu chemistry yang unik sehingga dinamakan ‘The Dynamic Duo’ sebelum lahirnya Timbaland-Justin atau Timbo & Nelly (Furtado) selepas itu.
Malangnya sangkaan label rakaman yang inginkan kejayaan dinamik duo ini direplikasi sedikit sebanyak terbantut apabila lagu ini tidak berjaya melepasi Top 40 di US manakala hanya berada di dalam Top 20 di UK sebelum hilang dari radar beberapa minggu kemudiannya. Ini membuatkan eksekutif di Blackground Records tidak senang duduk dan terus merangka strategi untuk merilis sebuah lagu yang dikatakan bakal menjadi hit, Rock The Boat tanpa disedari akan mengundang satu riwayat tragis ke atas penyanyi ini.
Lagu ini akan terus diingati sebagai pencetus utama di dalam era ‘merah’ beliau kerana keunikan susunan dan penerbitan si genius Timbaland serta gaya persembahan vokal beliau yang kompleks tetapi masih chill. Stail muzik ini turut menjadi inspirasi kepada penyanyi dan juga penerbit lain untuk terus berfikir dari luar kotak dan terus berkarya tanpa perlu berkompromi dengan impak komersial semata-mata. Boleh dikatakan walaupun sudah lebih dua dekad dirilis, lagu ini masih malar segar dan akan terus diingati sebagai trademark Aaliyah.
Fun fact: Beliau dikatakan teringin sangat untuk bekerjasama dengan Trent Reznor untuk album ‘merah’ namun tidak dapat direalisasikan akibat tiada kesepakatan dan kekangan masa. The real trendsetter.