Romantika Cinta Terlarang Dalam Naskah Pertama Saiful Rizal

oleh Rahmat Mohd Did
2.6K bacaan

Sedari not pertama lagu ini berkumandang, penulis terus rasa ditarik ke dalam terowong masa ke bulan Julai tahun 2014 sewaktu pertama kali menikmati album solo Noh Salleh, Angin Kencang. Susunan lagu, lenggok suara dan ‘keladak nostalgik’ instrumentasinya benar-benar terasa seperti mahu mengulang magis dalam album tersebut. Nuansa romantisnya agak berjaya, namun adakah ia sebuah produk yang mampu menggugah babak muzik era terkini?

Aku Takkan Mampu adalah naskah pertama penyanyi solo yang memilih untuk bergerak secara independen, Saiful Rizal.  Istimewanya lagu ini adalah ia mendapat sentuhan komposer yang tidak disangka-saka iaitu Raja Nazrin (Sekumpulan Orang Gila). Siapa sangka dia ada genetik Ahmad Nawab? Haha.

Dari segi susunan lagu dan instrumentasi, ia boleh dibanggakan walaupun hasil akhirnya tidak ‘sekaya’ produk-produk terbitan label arus perdana. Liriknya pula ditinta oleh Shana Razman dan penulis boleh katakan agak klise dan simplistik setelah diterangkan oleh Saiful Rizal bahawa ia adalah tentang realiti kisah cintanya yang tragik. Dari segi pakej, lagu ini sekadar cukup-cukup makan dan jika diberi masa yang lebih untuk proses pra-produksi, produksi dan pasca-produksi boleh jadi jauh lebih baik. Vokal Saiful punya karakter yang bagus, namun dari segi penghayatan dan projeksi masih boleh diperkemaskan lagi. Bagaimanapun, Aku Takkan Mampu masih sangat okay sebagai karya pengenalan.

Menurut Saiful Rizal, lagu ini mengisahkan tentang tragedi cinta terlarang yang dialuinya sendiri.

Aku Takkan Mampu mengisahkan tentang pasangan berlainan bangsa dan agama yang end up terpaksa berpisah kerana tidak mendapat restu keluarga. Ini adalah pengalaman peribadi saya yang dijadikan cerita untuk lagu ini.

Penulis sebenarnya tertanya-tanya, adakah Saiful Rizal akan terus konsisten dengan nuansa muzikal sebegini atau bakal hadir dengan kejutan baharu untuk single seterusnya? Apa pun, harapnya beliau lebih berani untuk menghasilkan karya sendiri atau sekurang-kurangnya menulis lirik selepas ini kerana ia akan menjadikan karya tersebut lebih dekat dan bersifat peribadi. Ditanya tentang harapannya untuk lagu ini,

Saya berharap agar pendengar terhibur dengan lagu pertama saya ini dan dapat menerima saya dalam industri muzik ini. InsyaAllah more to come, lagu kedua dan seterusanya juga akan dihasilkan dalam tahun ini.

Aku Takkan Mampu juga boleh dinikmati di platform-platform strim digital seperti YouTube Music, Apple Music, Deezer dan Spotify. Tahniah Saiful atas naskah sulung ini. Semoga terus sukses untuk karya-karya akan datang!

Ikuti Saful Rizal di:

Facebook

Instagram

Twitter

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅