Oleh: Mahmud Defend
Pada tahun lalu, saya berkesempatan untuk menyertai sebuah acara anjuran RVDA Records di mana kugiran Crossover Hardcore, Rusted telah menganjurkan Album Release Party pada 2 Disember 2023.
Acara ini dijalankan di Migo’s Event Space di Seri Kembangan bersama kugiran lain iaitu Rawmind, Doom The Dark, Inversion dan Centipede. Walaupun agak terlewat, namun itu bukan asbab utama untuk saya tidak membuat liputan terhadap kugiran baru ini.
Mungkin ada yang tidak mengenali; Rusted merupakan kugiran dari Pahang Darul Makmur dan pada asalnya dianggotai oleh Fazrul (vokal), Amir (Gitar), dan Haziq (Bass). Kemudiannya Faris menyertai kugiran ini sebagai pemain dram. Bermula pada tahun 2022, mereka telah menyertai pelbagai siri gig dan tahun 2023 mereka telah ke Singapura sebagai kugiran pembuka untuk Dazzle dari Indonesia. Di saat itu saya merasakan mereka ini sudah berada di tempat yang sepatutnya dalam skena muzik Malaysia.
Bercerita tentang acara ini, saya difahamkan mereka telah melancarkan album ini lebih awal iaitu sekitar Mac namun membuat keputusan untuk melancarkan acara ini di hujung tahun. Menurut Amir:
Sebab kami lambat buat event ini adalah kerana banyak menerima jemputan show dari awal tahun lagi. Ramai yang antara kami sudah bekerja jadi ada sedikit kekangan masa untuk mengadakan show release party disebabkan cuti yang digunakan sudah memenuhi kuota show yang sedia ada.
Acara ini sepatutnya pada bermula jam 8:00 malam namun disebabkan terdapat sedikit masalah, ia akhirnya bermula pada jam 9:00 malam oleh Rawmind, kemudiannya diteruskan oleh Doom The Dark, Inversion, Centipede dan akhir sekali Rusted.
Tumpuan saya lebih kepada Rusted kerana ini merupakan acara meraikan kelahiran album mereka iaitu Never Ending Disgust, dan saya memang tidak sabar untuk menonton persembahan mereka. Ketika memulakan persembahan, saya diberitahu Faris tidak dapat menyertai acara ini kerana mempunyai urusan dan diganti oleh Luan dari No Lead. Bukan itu sahaja, ini pertama kali saya melihat kelibat gitaris baru iaitu Aniq dari Hayley’s Komet/Consecrate dan beliau telah menyertai Rusted sejak Mac 2023 sebagai sessionist tetap.
Sepanjang persembahan, saya melihat kesungguhan mereka dalam bermuzik dan riff gitar yang mengingatkan saya kepada Metallica, Judiciary dan sedikit bunyian Malevolence. Sejujurnya ini pertama kali saya menonton Rusted dan mereka membuatkan saya teruja di setiap inci lagu yang dipersembahkan. Disarankan bawa yoko-yoko dan minyak cap kapak awal-awal kerana kugiran ini bukan sekadar memecahkan kepala namun badan bakal sakit pada keesokan hari.
Alhamdulillah, penerimaan pendengar sangat baik dari pelbagai aspek. Tambahan pula, album kami telah dipromosikan oleh uniteasia dan telah dianggap sebagai ‘one of my favorite release of 2023’. Walaupun hal ini tidaklah begitu besar dan gah, namun hal ini telah menguatkan semangat kami untuk terus berkarya dan menghiburkan para pendengar. Walaubagaimanapun, kami masih baru dan mentah di dalam scene muzik ini dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari dan ditambah baik.
Saya juga difahamkan bahawa 2024 mereka bakal mempersembahkan sesuatu buat peminat dan bakal membawakan sesuatu yang baru. Saya tidak sabar menanti mereka. Sekian.
Ikuti Rusted di: