Kumpulan Metalcore/post-Hardcore Sekumpulan Orang Gila (SOG) telah menerima kecaman daripada netizen-netizen dan para haters baru-baru imi. Menerusi hantaran video Facebook oleh mereka bertajuk ‘Showmanship – Main Pedang‘ yang memaparkan hayun & laga gitar mereka pada 2 Januari 2024 di laman rasmi mereka, mereka telah menerima kecaman daripada segelintir orang awam netizen yang menyaksikan perkongsian video tersebut.
Kebanyakan kecaman berbentuk negatif dan memperleceh aksi ‘mereka semasa ‘breakdown‘ dalam persembahan gig di Aswara baru-baru ini.
Antara komen-komen negatif (tetapi lucu) ialah seperti berikut:
Knp x pecahkan… Brg2 muzik nya… Bru org gila
Baru pandai main muzik ni…kesian
Terpaling band 😂😂😂 sampahnye lahai melayu
Yg ni lintah masok juboq tu yg mengedik…
Rujuk video & komen di pautan FaceBook laman mereka (AWAS! Komen-komen mungkin boleh mengundang sengsara-kelucuan!).
Namun, SOG berjaya membentes semua kecaman dengan tenang dan penuh bergaya. Antara yang paling epik ialah:
Fokus jaga hubungan kalian dengan Tuhan kalian.
Pelecehan terhadap kumpulan-kumpulan independen di luar arus perdana (serta juga genre-genre muzikal lain) oleh orang ramai dari kalangan konservatif seperti ini, bukan sesuatu yang baharu.
Budak-budak Punk pernah dikutuk keras oleh media massa seperti Utusan Malaysia dan Tun Dr Mahathir pada dekad 90-an (sebenanya, berbaur politikal kerana banyak golongan Punk menyokong gerakan Reformasi Anwar PMX pada masa itu). Seperti biasa, Black Metal menjadi sasaran masyarakat awam sekitar 2000-an dengan tuduhan seks bebas, kepala kambing dan sebagainya melalui propaganda majalah ‘Mastika’ pada masa itu. Seperti biasa, peminat-peminat muzik Hip-Hop, K-Pop dan EDM juga tidak terkecuali mendapat tempias. Seperti biasa juga, Baby Shima menjadi sasaran lelaki-lelaki ‘sado patriarki’ yang lantang memekik tetapi rancak melayar Pornhub di subuh hari. Semuanya, seperti biasa. Tiada apa yang baharu bukan daripada golongan sebegini selain mengitar prasangka kebencian?
Ini bukanlah kali pertama SOG meneeima kecaman-kecaman sebegini. Tahun lepas, kemunculan mereka dalam konsert Kepci Fest di hadapan PMX Anwar Ibrahim juga telah menjadi sasaran negatif dan bahan kutukan orang ramai yang juga tidak senang dengan aksi-aksi ‘moshing’ para peminat SOG di situ. Contoh di sini.
Persoalannya, siapakah di sebalik golongan ini?
Mereka ini juga adalah orang-orang yang sama menghentam konsert Billie Eilish, Coldplay dan acara-acara konsert..
Menghunjam atas nama agama, bukan sesuatu yang baharu, bukan?
Anehnya, setelah lebih 30 tahun dan kemercuan era digital, golongan konservatif seperti mereka juga semakin membiak. Ia menyebabkan kita diheret ke kancah pelampau-pelampau ekstrim media sosial yang penuh prejudis dan kebencian, Mereka akan membuta tuli menghentam sambil memetik perkara yang bukan-bukan. Bukan sesuatu yang baharu, bukan? Kita telah menyaksikannya berulang kali baik dalam lapangan muzik underground dan antarabangsa.
Dari komen-komen negatif, umum boleh melihat betapa kecilnya minda dan kotak fikiran mereka. Seperti juga komen balas SOG, duduknya mereka di bawah tempurung. Adalah sesuatu yang mustahil pada era digital ini, orang masih tidak mengetahui konseptif mosh melainkan dia hidup dalam ruang kehidupan yang sangat terhad. Ketaksuban dan kejumudan sememangnya sukar dilenturkan dan menjadi cabaran kepada pembaharuan dan inovasi. Bukan sesuatu yang baharu, bukan?
Kita berharap Sekumpulan Orang Gila (SOG) akan terus aktif berkarya dan membuat keluaran-keluaran berkualiti kerana mereka antara harapan besar untuk mengubah lanskap industri muzik tanahair serta menaikkan lagi aksi-aksi independen lokal untuk mengausai persada muzik tempatan. Mereka telah membuktikannya dengan menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun 2021 dengan lagu ‘Pelukan Angkasa’ bersama penyanyi Shila Amzah dan tidak hairan, banyak lagi potensi yang mereka boleh berikan pada masa depan.
SOG pada tahun lepas telah berdepan pelbagai perkembangan seperti ‘line-up‘ baru dan lain-lain. Single terbaru mereka ialah Revelation (feat. Patriots) pada sekitar Ogos tahun lepas manakala lagu ‘KUDRAT’ bersama Naim Daniel kini semakin trending dalam persaingan carta Juara Lagu.
Karenah bocah-bocah maya ini tidak perlu dihiraukan sangat kerana mereka dilihat mempunyai tahap kesedaran yang agak rendah dan tidak membantu produktiviti kemajuan sosial negara. Lebih buruk lagi, mereka menjadikan platform-platform hiburan ini sebagai medan benih kebencian dan ekstrim yang boleh mengancam keselamatan negara,
Bocah-bocah konservatif dan netizen pelampau akan terus menyerang, pastinya bukan sesuatu yang baharu, bukan? Sekurang-kurangnya ada juga bahan hiburan dan geletekan.
Nota kuku: Bocah bermaksud anak dalam bahasa Indonessia dan walaupun telah dewasa, tahap kepintaran mungkin masih peringkat keanakan.
#ChivasAlexandria