Hari demi hari, semakin ramai aksi-aksi hip hop dan R&B generasi baharu tempatan muncul dan kualiti produk yang dipersembahkan juga semakin bertambah baik. Salah satunya adalah Saixse yang baru sahaja melancarkan album perdananya, XSE baru-baru ini.
Anak jati Kuala Lumpur ini bermula di platform Soundcloud sejak berusia 16 tahun dan berjaya mencatat 500,000 putaran setakat akhir 2020. Lagu pertama gubahan beliau yang mendapat perhatian adalah Vibe dan disusuli Vibe II yang menampilkan Eemrun.
Tahun ini, Saixse melancarkan album pertamanya di bawah label Nicerrr Sound dan berharap dapat mengembangkan lagi kariernya di samping mengumpul peminat baharu.
Turut menampilkan UmarFaruq dan JangGahai, XSE adalah sebuah eksplorasi emosi dan curahan rasa yang bervariasi dan dinamik. Mengandungi 10 buah lagu berdurasi 25 minit keseluruhan, setiap trek berdiri sendiri dengan tema lirikal yang mengupas pelbagai isu termasuk kegagalan cinta, depresi, dadah, anti sosial dan retrospeksi kehidupan yang paling dalam.
Awal tahun ini, Nicerrr memuatnaik salah satu single dalam album XSE, Better ke saluran YouTube mereka dan setakat ini sudah ditonton lebih 5,000 kali.
Saixse mempunyai kekuatan dari segi gubahan lagu dan tona suara yang tersendiri. Pakej sebegini perlu diberikan perhatian, lebih-lebih lagi apabila ia dikemaskan dengan penulisan lirik yang sangat beremosi dan jujur, mengingatkan penulis kepada seorang lagi bakat baharu yang sedang meningkat naik, DC Willie. Syabas diucapkan dan semoga lebih ramai lagi pemuzik-pemuzik muda serba boleh sebegini muncul di masa hadapan.
Ikuti Saixse di:
Nicerrr Sound: