Twoseventeen Hidupkan Kembali Aura Alternative Rock

oleh Mohd Asyraf Firdaus
2.1K bacaan

“…semestinya, kami sentiasa mencari peluang untuk beraksi. Sejujurnya, sangat rindu untuk beraksi di atas pentas. Tapi, insyaAllah, masa akan tiba. Ada rezeki, akan ada peluang kami…”

Begitulah sedikit petikan daripada anggota Twoseventeen yang merindukan acara langsung untuk terus beraksi demi muzik yang dicintai. Pihak MAMY dan para pencinta muzik di luar sana juga semestinya turut merindukan suasana sepertimana sebelum pandemik menyerang seluruh dunia hingga merencatkan pelbagai bidang dan sektor.

Nun jauh di utara tanah air, band yang diberi nama Twoseventeen ini sebelumnya telahpun merilis dua buah single iaitu ‘Kembalikan’ dan juga ‘Yang Satu’. Band yang memperjuangkan genre alternative rock ini sekaligus telah berjaya melenyapkan kesepian yang melanda dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat seolah membuat ‘comeback’ pada suku pertama 2021 dengan rilisan single terbaharu mereka yang berjudul ‘Bersama Selamanya’. Buat mereka yang tertanya-tanya, band ini merupakan penyambung legasi band yang berada pada era milenial awal 2000 dahulu seperti Breaking Benjamin dan juga Linkin Park. Ini juga diakui oleh anggota yang menjadi tunjang utama selaku pemain keyboard iaitu Fik.

AYUH KITA TERUSKAN!


ULASAN LAGU

Lagu yang dirilis secara rasmi pada 24 Januari 2021 ini melalui proses mixing dan mastering yang dilakukan oleh Hazlan dari Sangkar Sound Studio. Jika lagu sebelumnya telah mendapat sentuhan gitaris Pop Shuvit iaitu JD Wong, sound yang ditampilkan di dalam lagu ini boleh dikatakan mencapai standard walaupun mereka menyatakan masih bereksperimen dalam mixing dan mastering.

Tanggapan pertama penulis apabila mendengar lagu ini adalah penulis menyangkakan lagu ini bertemakan kisah seram kerana petikan keyboard oleh Fik juga boleh dikatakan ‘berhantu’. Masih lagi mengekalkan format konvensional dalam penghasilan lagu iaitu verse-chorus-verse, lagu ini agak berbeza berbanding sebelumnya kesan daripada outro yang catchy pada penghujung lagu.

Apabila lagu ini memasuki bait chorus “…ku pohon tuhan panjangkan usia agar kita bersama selamanya…” penulis berasa teruja kerana vokal yang dilontarkan oleh Mat amatlah sesuai dengan lagu yang berentak sebegini rupa. Selain itu, permainan dram sewaktu chorus tersebut juga terdapat unsur double pedal walaupun ia dimainkan secara soft tetapi pada pengamatan penulis itulah yang juga menjadi kekuatan lagu selain dari petikan papan kekunci yang menyeramkan dan penuh emosional oleh Fik.

Pada pandangan penulis, vokal yang ada pada Mat adalah vokal yang paling matang dalam kesemua lagu yang pernah dihasilkan oleh Twoseventeen. Kemudiannya lagu ini diakhiri dengan outro yang catchy dan sekali lagi petikan papan kekunci oleh Fik memainkan peranan yang juga menjadi identiti utama band ini.

PERKEMBANGAN TERKINI

Memandangkan kebanyakkan anggota Twoseventeen telahpun berkeluarga namun segunung penghormatan wajar diberikan. Ini kerana mereka berjaya menguruskan masa antara kerjaya, keluarga dan juga band. Twoseventeen sanggup keluar dan masuk studio demi praktis dan menjalani proses rakaman lagu. Ini merupakan pencapaian yang baik kerana kita sendiri dapat lihat banyak band yang ‘terhenti’ apabila telah mendirikan rumah tangga. Menurut Fik, mereka masih lagi berada dalam fasa proses rakaman lagu baru yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi. Pada pandangan penulis, rugi jika peminat-peminat alternative rock yang membesar dengan lagu-lagu era 2000-an melepaskan peluang sekiranya tidak memberi perhatian kepada Twoseventeen yang berjaya mengembalikan zeitgeist rock moden yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.

Twoseventeen juga mengimpikan agar suatu hari nanti akan wujudnya platform di televisyen yang berunsur muzik untuk mereka mengetengahkan bakat dan meluaskan lagi para pendengar dengan karya yang diasilkan oleh mereka. Versus 2.0 maybe? Selain itu, Twoseventeen juga bersedia sekiranya dijemput untuk tampil secara umum di kaca televisyen.

Akhir kata, penulis mendoakan agar Ilahi memberikan kejayaan yang berterusan kepada Twoseventeen agar boleh terus berkarya dan menyebarkan aura positif selain daripada menghiburkan pencinta muzik tanah air.

Dengarkan juga single mereka sebelum ini, ‘Kembalikan’:

Ikuti Twoseventeen di:

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅