Sekumpulan Orang Gila Berlayar Gagah Menerusi Karya Terbaharu; ‘Sailors of Sorrow’

oleh Rahmat Mohd Did
1.9K bacaan

Kali pertama kita disajikan dengan sound album terbaharu Sekumpulan Orang Gila adalah pada bulan September tahun lepas melalui single Pelukan Angkasa. Impak lagu tersebut bukan calang-calang. Ia dijadikan runut bunyi filem KL Vampires, memenangi Anugerah Lagu Popular serta Anugerah Platinum Carta Indie Kita di Anugerah Lagu Indie dan video muziknya telah ditonton hampir 400,000 kali di saluran YouTube.

Semalam, mereka kembali dengan single kedua yang bakal dimuatkan dalam album ketiga, Second Voyage berjudul Sailors of Sorrow dan kali ini, ia lebih berat dan menusuk kalbu!

Sailors of Sorrow digubah oleh Raja Nazrin dan Raja Nazmin manakala liriknya dinukil oleh Zainuri Shaharin (Cycryptic). Mungkin ramai yang sudah sedia maklum bahawa kesemua lagu dalam album ketiga ini menjalani proses rakaman di Perancis di bawah kendalian Bert Poncet dan Eric Poncet (Chunk! No, Captain Chunk!) di Alias Studio. Rasanya, tidak perlu kita membincangkan lagi tentang kualiti akhirnya yang amat membanggakan dan mampu meremangkan bulu roma sesiapa sahaja!

Lebih berat dan progresif berbanding Pelukan Angkasa yang lebih melodik, Sailors of Sorrow memperlihatkan Riko memacu bahagian vokal utama manakala Raja Nazrin mengendali bahagian korus dan harmoni. Dinamik duo ini memberi impak besar kepada keseluruhan lagu di samping peranan setiap bahagian instrumen yang dimainkan dengan curahan emosi setinggi gunung memberi isyarat bahawa mereka kini sudah berada dalam status pemuzik elit dan tidak harus dipandang ringan. Inilah formasi yang akan menjadi barisan hadapan membawa jenama rock Malaysia ke serata dunia di masa hadapan. Jika bukan kerana pandemik, nama SOG pasti sudah dapat kita lihat merata-rata di pentas festival Asia dan antarabangsa.

SOG beraksi di Rock the City Fest 2020.

Kepada yang sudah menonton video muziknya, mungkin banyak persoalan yang bermain di minda. Apa kaitan jalan cerita MV ini dengan lirik lagu? Siapa watak-watak di dalam MV ini? Mengapa pengakhirannya seperti tergantung?

Nah, sebuah MV sebenarnya tidak perlu bersandar secara langsung dengan lagu. MV terbitan dan arahan Nadeem A. Salam (Skesh Entertainment) ini membawa kisah ‘misteri’ di mana penonton terus dibawa ke babak pertarungan antara tiga watak; dua pesilat dan seorang pengamal capoeira dalam sebuah gudang tanpa kita tahu hujung pangkalnya. Bagi penulis, kita enjoy sahaja apa yang dihidangkan kali ini. Mungkin SOG ada kejutan yang lebih besar selepas ini bagi merungkai setiap persoalan.

Kesimpulannya, Pelukan Angkasa dan Sailors of Sorrow memberi bayangan bahawa album Second Voyage nanti bakal menjadi produk yang sangat bervariasi dan hebat. Persoalannya, adakah peminat muzik tempatan sudah bersedia dengan adikarya ini?


Tahukah anda, riff gitar dalam lagu ini diinspirasikan daripada bunyi sitar?

Tonton temubual bersama Raja Nazrin di MAMY GEAR untuk lebih banyak info tentang album Second Voyage:

#SOG #SailorsofSorrow #SecondVoyage

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅