Selamat Hari Lahir Yang ke-78 George Harrison

oleh Aqil Syakir
575 views

25 Februari 1943 merupakan tarikh kelahiran bagi pemain gitar utama The Beatles, George Harrison. Walaupun beliau sudah meninggal dunia pada tahun 2001 akibat kanser paru-paru, tetapi peminatnya masih lagi mengingati dia sehingga sekarang.

Sebagai penghargaan, mari kami kongsikan sedikit mengenai kisah menarik George Harrison. Kemungkinan kisah-kisah ini akan memberikan kejutan pada anda semua yang tengah membaca.

Selalu Berkongsi Ilmu Muzik Bersama Paul McCartney di Sekolah

Sebenarnya George Harrison meminati bidang muzik sejak di bangku sekolah lagi walaupun dia membesar ketika zaman pasca peperangan. Minat muziknya diserikan lagi dengan kehadiran kawan baiknya, Paul McCartney dan mereka akan selalu berkongsi perihal muzik ketika menaiki bas sekolah.

Pada 1958, Paul telah membawa George pergi berjumpa dengan John Lennon untuk menguji bakatnya bermain gitar. Kalau anda nak tahu, George masa ni umurnya masih muda lagi iaitu 15 tahun.

Pada masa itu, nama kumpulan mereka diberi nama The Quarrymen. Disebabkan umur George terlampau muda untuk menyertai kumpulan muzik itu, John Lennon meraguinya.

Jadi, Paul McCartney melaksanakan perbincangan di dalam bas bagi penyertaan George dalam kumpulan muzik itu. George telah mengagumkan Lennon dengan bermain riff gitar lagu Raunchy.

Perbincangan tersebut pernah diadaptasikan dalam filem Nowhere Boy (2009):

Selepas itu, Lennon bersetuju untuk mengambil George sebagai ahli kumpulan secara rasmi. Pada 1960, seorang promoter British, Alan Williams telah menyusunatur kumpulan mereka dan daripada sinilah terbentuknya kumpulan The Beatles.

Sebenarnya bapa George mahu dia fokus kepada pelajaran tetapi dia tetap bertekad untuk berhenti sekolah pada umur 16 tahun. Namun, dia bekerja sebagai jurueletrik praktikal sebelum memasuki industri muzik.

Berjumpa dengan Ravi Shankar untuk mempelajari muzik tradisional India

Mungkin ramai tidak tahu bahawa selain bermain muzik secara berkumpulan, George juga jatuh cinta dengan muzik tradisional India. Minatnya pernah diadaptasi dalam filem Help! (1965) ketika dia terpegun melihat sebuah kumpulan muzik bermain muzik tradisional India di sebuah restoran.

George mula mengembangkan minat muziknya selepas berjumpa dengan seorang komposer India, Ravi Shankar pada Jun 1966 di London. Dia sanggup terbang ke India demi belajar bermain sitar bersama Ravi.

Selama George di India, banyak muzik tradisional India yang dipelajari bersama dengan Ravi Shankar. Mereka juga pernah berkolaborasi dalam pembikinan lagu-lagu berunsurkan muzik tradisional India.

Pada tahun 2010, Dark Horse Records pernah mengeluarkan sebuah album bernama Collaborations yang menghimpunkan semua lagu Ravi dan George.

Bukan itu sahaja, George juga mengeluarkan album solo iaitu Wonderwall Music hampir kesemua lagu-lagunya mempunyai alunan muzik tradisional India.

Kematian George Harrison yang Mengejutkan Penduduk Jagatraya

29 November 2001 merupakan tarikh pemergian bagi George akibat menghidap kanser paru-paru ketika berumur 58 tahun. Pada masa yang sama, George juga menghidap penyakit ketumbuhan otak sewaktu dirawat dan dia juga pernah menghidap kanser tekak pada 1998.

Titisan air mata jatuh ke lantai apabila Olivia Harrison (isteri) dan Dhani Harrison (anak) melihat George menghembuskan nafas terakhirnya di rumah kawan baiknya, Gavin De Becker.

Walaupun George dianggap pendiam dalam kalangan ahli The Beatles, tetapi dia mempunyai peminat yang ramai. Peribahasa “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” boleh dikaitkan dengan George kerana sampai sekarang orang masih mengingatinya.

Sumber:

  1. Amomama.
  2. Far Out Magazine.
  3. Express.
  4. Mint.
  5. Old Hollywood.
  6. Trib Live.
  7. DW.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati