Tanggal 24 Disember, kita dikejutkan oleh pemergian saudara Meor Yusof Aziddin, atau lebih dikenali sebagai Meor Pesta Jiwa. Menerusi sebuah hantaran yang dimuatnaik oleh anak sulung kepada Allahyarham di laman Facebook, beliau menyatakan Allahyarham telah pergi bertemu Ilahi pada jam 11:42 malam hari Jumaat.
Sedikit pengenalan mengenai Allahyarham, beliau merupakan seorang folk singer-songwriter yang telah berkecimpung dalam bidang seni semenjak tahun 1984. Allahyarham yang juga merupakan adik kepada penyanyi tersohor Sohaimi Meor Hassan dan kartunis Mishar, pernah menerbitkan sepuluh buah album termasuk album pertama beliau, Pesta Jiwa di bawah label perdana.
Menerusi hantaran Allahyarham di laman Facebook miliknya pada 3 Disember 2021, Allahyarham dan isteri telah disahkan positif jangkitan Covid-19. Pada hari yang sama juga Allahyarham telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur akibat masalah pernafasan. Setelah lebih 14 hari bertarung nyawa melawan penyakit, Allahyarham akhirnya pergi menghadap Ilahi.
Ke hadapan para pembaca yang beragama Islam sekalian, marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham. Semoga Allahyarham dilimpahkan rahmat yang Maha Esa dan digolongkan bersama golongan yang beriman.
Kepada para pembaca yang ingin membantu keluarga Allahyarham sedikit sebanyak, bolehlah disalurkan sumbangan ke nombor akaun yang dilampirkan di bawah. Semoga Allash S.W.T membalas jasa kalian dan kita semua diletakkan di bawah lindungan-Nya.