Kumpulan Rock Singapura, Aerial pertama kali memperkenalkan diri pada bulan Ogos 2019 menerusi single Mayangsari. Selepas lebih setahun menyiapkan material, mereka akhirnya muncul dengan album pertama, Semangat Serigala pada 15 Oktober 2021 yang lalu.
Aerial secara rasmi ditubuhkan pada tahun 2017 dan terdiri daripada Kael (vokalis), Ad Bach (gitaris utama), Troy (gitaris kedua), Amy Apache (pemain bass) dan Sham Herryk (pemain drum). Pada awal tahun 2021, Amy Apache telah digantikan dengan pemain bass yang baru, Ayed Waree. Beliau merupakan pemain bass dari band Denova yang pernah beraksi di Malaysia beberapa kali dan telah berkongsi pentas dengan band Dinamik.
Muzik mereka dipengaruhi sentuhan Grunge, 80’s Heavy Metal dan 90’s Rock. Dengan mengekalkan semangat Rock, Aerial memperkenalkan jenama ‘Rock Temasek’ ke dalam lagu-lagu ciptaan mereka. Album Semangat Serigala memuatkan sembilan buah lagu berbahasa Melayu dengan sound yang mengimbau nostalgia kita kepada era kegemilangan Rock Kapak.
[bandcamp width=100% height=42 album=2064561976 size=small bgcol=ffffff linkcol=0687f5]
Inspirasi menubuhkan Aerial tercetus selepas bekas pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad bertanyakan soalan maut kepada Kael dan Troy pada tahun 2017 iaitu, “Ke mana arah tuju genre rock Melayu di Singapura?”
Walaupun telah bergiat lama dalam scene underground, pertanyaan arwah tersebut seperti menyuntik semangat baharu kepada mereka agar membangkitkan semula zaman kegemilangan tersebut.

Untuk pembikinan album ini, Aerial telah mendapatkan khidmat Islam Falmi (anggota band Darah) sebagai jururakam dan jurutera adunan. Beliau juga telah memberikan sedikit sentuhan solo gitar dalam lagu terakhir album ini iaitu Kacau. Seorang lagi adalah pemain oud, Kheir Yasin yang juga turut diundang untuk menyerikan lagi lagu Kacau dengan Taksim.
Buat masa ini, Semangat Serigala hanya boleh didapatkan secara digital hanya melalui Bandcamp. Tidak lama lagi, album ini akan diriliskan di dalam format piring hitam melalui Mosta Records. Tarikh rilisan serta informasi selanjutnya akan dikeluarkan oleh pihak Mosta Records yang merupakan sebuah label independent yang telah meriliskan album terbaru kumpulan Rap Amerika tersohor, Arrested Development.
Proses Mastering album ini dilakukan oleh Bill Skibbe dari Third Man Mastering dan cetakan piring hitam akan dihasilkan oleh Blue Sprocket Pressing. Test pressing baru sahaja diterima dan cetakan seterusnya akan dimulakan tidak lama lagi. Sebenarnya, pihak Blue Sprocket Pressing telah menunddakan cetakan album ini disebabkan permintaan cetakan piring hitam yang sangat tinggi dari serata dunia.
Selari dengan pelancaran album Semangat Serigala, Aerial akan beraksi buat pertama kali pada 18 Disember 2021 di Scape, Singapura. Aerial serta 3 lagi band tempatan akan beraksi di One Music Fest: Rock 2021 yang dianjurkan oleh From The Top Studio by Orion Concepts. Antara band yang akan beraksi termasuk Majesty, sebuah band “all-star” yang dianggotai oleh Hanafie Warren serta anggota-anggota lama dari band otai Helter Skelter dan Rockers.
Ikuti Aerial di: