Epik. Itulah yang dapat digambarkan apabila kumpulan Sil Khannaz mengkacukkan elemen tradisional Ghazal dalam lagu agung mereka ‘Gerbang Kayangan’ semasa konsert virtual mereka ‘March to Madness‘ yang berlangsung semalam.
Konsert virtual selama hampir 2 jam itu menyaksikan mereka mempersembahkan lagu-lagu daripada album mereka seperti ‘Conception of Madness’, ‘Pendita Gila’ dan terbaru ‘Tawanan Dosa’ dengan diiringi Dewangga Sakti yang membuat sentuhan tradisional beserta kompang, gambus, akordian (geng Abang Ranum) dan gamelan cak lempung.
Klimaks utama persembahan ialah lagu agung ‘Gerbang Kayangan’ apabila bahagian intro diambil oleh alunan syair Ghazal Dewangga Sakti sebelum riff keramat menyentap masuk. Tidak cukup setakat itu, bahagian bridge solo kemudiannya diambil alih semula paluan kompang Dewangga sebelum diakhiri dengan riff penamat ala Rock N Roll pada penghujung lagu.
Lagu-lagu lain seperti ‘Intravena Tantreka’ dan ‘Santapan Terakhir Raja Bersiong’ turut dipersembahkan oleh mereka menyemarakkan api khannaz.
Kesemua line-up Sil Khannaz hadir mempamerkan aksi dan kelincahan masing-masing. Kombinasi permainan ‘live’ gitar, bass dan drum yang dahsyat. Seperti biasa, persembahan vokal Jaei tidak pernah mengecewakan. Beliau kelihatan terdengkut-dengkut tetapi tidak menghalang beliau menyembur vokal trademark sepanjang konsert.
Latar belakang ala berapi dengan motif wayang kulit Jawa juga di sepanjang konsert menambah perisa dan bisa khannaz. ‘Sound’ keseluruhan yang memuaskan.
Menariknya, konsert virtual ini didatangkan percuma semalam namun kepada yang bermurah hati, boleh terus menderma kepada mereka menerusi Hong Leong Bank : 42101001188 (Bsynclive Sdn Bhd) | atau PayPal: https://paypal.me/bisinglive
Dengan March To Madness semalam, Sil Khannaz benar-benar telah menetapkan stau benchmark baru terhadap kualiti persembahan aksi-aksi tempatan pada era baharu dan buat seketika, perbezaan antara pengalaman virtual dan konsert sebenar menjadi kabur. Khannaz dan Dewangga telah berjaya memberi kepuasan kepada peminat-peminat Metal dan diharap lebih banyak aktiviti mereka (mungkin lagu collab Nusantara terbaru?) akan menyusul masa depan.
#ChivasAlexandria