
Festival gaya hidup Kustom terbesar di Malaysia, Art of Speed (AOS) 2025, bukan sekadar medan untuk peminat kenderaan kustom, ia juga menjadi pentas buat pemuzik alternatif tempatan dan serantau menerusi acara muzik utamanya, SoundCircus Takeover.
Bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang, SoundCircus Takeover menjanjikan getaran muzik yang memikat, menggabungkan genre-genre alternatif dengan semangat budaya jalanan. Barisan pemuzik tahun ini merangkumi Noh Salleh & Restore Iboe, Romantic Echoes, Ruffedge, Luqman Podolski, Sabda Alam, Fugo, Iqbal M, Budak Nakal Hujung Simpang, Chronicalz, 53 Universe, Langkawi Dub Club SoundSystem, Mai Tummada dan ramai lagi – mencerminkan kepelbagaian selera dan generasi.
Dianjurkan dalam suasana indoor yang lebih intim di Dewan A dari jam 2:00 petang hingga 7:00 malam, pengunjung dijemput bersantai dan menikmati muzik dengan keselesaan serta audio visual yang lebih mantap. AOS juga mengingatkan pengunjung agar memantau kehadiran anak-anak kerana ini merupakan zon tertutup dan padat.
Meneruskan tradisi mengangkat komuniti kreatif, AOS 2025 bukan sahaja menyajikan muzik, tetapi turut mempamerkan dunia kenderaan ubah suai, seni jalanan, pakaian vintaj dan koleksi eksklusif. Tahun ini mereka juga memperkenalkan kolaborasi bersama jenama besar seperti Hot Wheels, MOONEYES Jepun, High Cultured, FK dan XOCKS.
Acara ini turut menampilkan ThunderCircus Brotherhood Rally, Pertandingan Show & Shine, Project Car Invitational serta pertembungan antara kolektor diecast dari seluruh Asia Tenggara melalui Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM).
Tidak ketinggalan, Backdoor Soundsystem Collective akan mengambil alih kawasan luar berhampiran “Payung Kopi” untuk suasana santai beralun reggae dan dub sepanjang hujung minggu.
Dengan gabungan dunia automotif, seni, gaya hidup dan muzik, AOS 2025 terus menjadi festival budaya alternatif paling berpengaruh di rantau ini.
🎫 Tiket kini boleh didapati di www.artofspeedmy.com – jangan lepaskan peluang untuk jadi sebahagian daripada perayaan budaya kustom paling berwarna-warni tahun ini!

