Penulis: Shafinas.AS/ Siaran media TAPAUfest
TAPAUfest yang diadakan pada tahun lalu telah mendapat tempat di hati peminat muzik indie di Malaysia. Oleh itu, pada 7 dan 8 Oktober 2023, festival ini telah diadakan buat kesekian kalinya bagi menemui para peminat mereka di Resort Tasik Raban. Seperti tahun lalu, TAPAUfest telah memilih Lenggong sebagai lokasi healing yang terbaik buat penggemar muzik Indie Malaysia.
Sebagai salah seorang pengunjung yang hadir, TAPAUFEST merupakan festival yang unik. Selain dapat menikmati muzik daripada band-band yang diminati, dapat juga menikmati keindahan alam dan berehat sebentar bagi melepaskan penat lelah di festival muzik ini.
Pada hari pertama TAPAUfest, para pengunjung telah dihiburkan dengan pelbagai artis yang berasal dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Gabungan daripada ketiga-tiga negara ini menghasilkan aura persembahan pentas yang begitu memukau dan bertenaga.
Persembahan pembuka dimulai dengan Mascot yang membawa genre midwest emo. Persembahan yang bertenaga serta luar biasa ini telah menghiburkan para pengunjung yang hadir.
Persembahan seterusnya diteruskan oleh Rub of Rub yang berasal dari Bandung, Indonesia. Persembahan yang sempurna disulami bunyi dub atau lebih dikenali sebagai drum n bass. Penonton yang hadir juga sangat senang melihat persembahan pertama mereka di Malaysia.
TAPAUfest kemudian menghadirkan Wobbebong di mana persembahan mereka juga tidak kurang mencuri tumpuan dengan penampilan istimewa dari rapper Hullera yang membawa lagu “Kereta Terbang”.
Seterusnya, para pengunjung disajikan dengan kumpulan yang berasal dari Singapura iaitu Force Vomit yang membuka persembahan dengan lagu “Spaceman Over Malaysia”. Mereka juga begitu teruja kerana dapat kembali sekali lagi di mana kali terakhir mereka membuat persembahan di Perak adalah pada tahun 2004.
Supergroup Jemson kemudian membawakan persembahan yang begitu bertenaga sesuai dengan konsep Rock n Roll dan mengembalikan semangat para pengunjung. Naim Daniel juga turut tampil membuat penampilan istimewa dengan membawa lagu “Mula Semula”.
Persembahan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba, di mana pengunjung ditawan oleh Nadin Amizah. Penyanyi asal Indonesia ini memulakan persembahannya dengan lagu terbaru iaitu “Rayuan perempuan gila” yang sedang hits dan mengakhiri persembahan dengan membawa lagu “Sorak Sorai”.
Hari kedua TAPAUfest dimulai dengan persembahan daripada kumpulan The Jansen yang berasal daripada Indonesia. Unit yang julung kali mengadakan persembahan di Malaysia ini berjaya menaikkan adrenalin para pengunjung untuk terus berhibur bersama mereka dan kekal di tapak Resort Tasik Raban sehingga tamat festival.
Legenda indie tempatan, Muck kemudiannya menyajikan sebanyak 11 buah lagu antaranya “Where Only You Belong”; dan “Orange School” yang meninggalkan kesan kepada semua penonton.
Kugiran indie pertama dari Thailand di TAPAUFEST iaitu Door Plant memberikan kejutan manis kepada mereka yang ingin
mencari muzik baru dengan penonton menari meskipun tanpa memahami sepatah perkataan dalam bahasa Thai.
Hujan mula menitik ketika Bayangan memukau penonton dengan jenama neo-folknya yang meruntun jiwa.
Persembahan memukau dari Lomba Sihir selepas itu mendapat tempat di hati para peminat muzik indie tempatan. Walaupun hujan lebat, para pengunjung yang hadir seakan-akan kerasukan dengan persembahan yang disajikan oleh Baskara Putra dan kumpulannya.
Festival TAPAUfest 2023 diakhiri dengan persembahan daripada senior muzikal tempatan iaitu Zee Avi yang telah meninggalkan kesan di hati para peminatnya dengan membawa lagu “Just I am “ dan “Kantoi” setelah sekian lama. Para pengunjung yang hadir juga tidak menyangka bahawa persembahan beliau begitu hebat serta menarik mereka untuk turut berdansa.
Secara keseluruhan, TAPAUfest 2023 telah meninggalkan kenangan terindah buat para pengunjung yang hadir terutamanya bagi mereka yang hadir dari luar semenanjung. Ini merupakan pengalaman luar biasa di mana mereka dapat menikmati persembahan daripada kumpulan yang mereka minati berlatarbelakangkan alam semulajadi yang indah.