Fiersa Besari Bawa Galau ke Kuala Lumpur

oleh Music Addicts Malaysia
759 bacaan

Kredit: Seraya Live

Penulis: Hanis Izzatul 


Selepas kemunculan pertamanya tahun lalu, penyanyi dan pemuzik Indonesia, Fiersa Besari atau lebih mesra dipanggil Bung kembali ke Malaysia untuk konsert Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2023 yang lalu.

Konsert yang dianjurkan oleh Seraya Live ini merupakan titik karier yang sangat bermakna buat Fiersa sempena meraikan 14 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

Sebanyak 20 lagu telah dipersembahkan kepada peminat yang hadir pada malam itu termasuk lagu-lagu dari lima buah album yang dihasilkan beliau iaitu 11:11, Tempat Aku Pulang, Konspirasi Alam Semesta, 20:20 serta album terbaharunya yang dilancarkan pada November tahun lalu, Berjalan Mundur.

Kredit: Seraya Live

Pentas dibuka tepat jam 8:50 malam dengan nyanyian penuh bersemangat Fiersa yang menyanyikan lagu Pengecut, kemudian diteruskan dengan Bukan Lagu Valentine, Garis Terdepan dan Melangkah Tanpamu.

Pada selingan antara lagu-lagu yang disampaikan, terdapat juga puisi-puisi indah dan juga kata-kata ‘healing’ untuk peminat yang sedang patah hati ditinggalkan kekasih atau mungkin juga sedang dalam zona ‘friend zone’. Setiap bait kata Fiersa pada malam itu seakan-seakan mewakili perasaan anak muda yang sedang berusaha untuk sembuh dan tumbuh kembali sehinggakan pada saat Fiersa menyanyikan lagu Lekas Pulih, ada antara peminat yang menitiskan air mata.

Selain itu, Garis Waktu merupakan antara lagu kejutan yang dipersembahkan pada malam itu yang juga merupakan tajuk novel hasil tulisan daripada Fiersa sendiri yang kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah filem dengan judul sama.

Kredit: Seraya Live

Tahun lepas, ketika pertama kali Fiersa menyanyikan lagu Runtuh di Kuala Lumpur, beliau menyanyikannya secara berseorangan. Tetapi kini, istimewa di konsert Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur, Feby Putri hadir untuk melengkapkan lagi konsert pada malam itu sekali gus membikin peminat yang hadir lepas gian untuk melihat dua penyanyi hebat ini beraksi di atas pentas.

Gabungan suara merdu Feby dan Fiersa serta tenaga dan penghayatan daripada mereka berdua sepanjang menyanyikan lagu Runtuh masih melekat dan membekas di jiwa serta benak fikiran penulis.

Kredit: Seraya Live

Dalam pada itu, penyanyi yang sedang meningkat naik, Aisha Retno turut membuat penampilan istimewa dengan menyanyikan lagu Waktu Yang Salah bersama Fiersa.

Secara keseluruhan, penulis dapat simpulkan bahawa konsert Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur merupakan sebuah konsert yang berjaya dan berjalan dengan sangat lancar. Hasrat penganjur untuk memastikan semua peminat yang hadir menikmati pengalaman terindah pada malam tersebut ternyata berjaya. Sekalung tahniah buat penganjur!

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅