Pengumuman siri jelajah Fourtwnty sebelum ini pastinya menggembirakan ribuan peminat mereka dari setiap penjuru Semenanjung. Kuantan, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dipilih untuk menjayakan promosi album Nalar. Sudah tiba masa siri di selatan berlangsung yang menjadikan Persada Johor Bahru sebagai saksi pementasan.
Ibarat satu penyembuhan berinti muzikal. Fourtwnty dalam satu lagi siri jelajah album baharunya di sini berjaya menyuntik ubat-ubat kehidupan melalui muzik yang artistik serta pesan-pesan sosial dalam visual. Nalar benar-benar diraikan secara berdepan. Mana tidak, album yang belum sampai setahun usianya, namun bisa dilepaskan sahaja liriknya kepada penonton untuk diselesaikan. Ari Lesmana selaku vokalis juga seakan tidak percaya dengan sambutan peminat, apakan lagi penulis yang hadir dengan tangan kosong dan mengenal Fourtwnty sekadar pada permukaan.
Malam itu juga menjadi malam pelbagai malam. Fourtwnty membawa muzik gaya santai dengan lirikal puitis yang adakala menjadi sentimental dan adakalanya semua berdansa. Dari mesej kekeluargaan, ke isu sosial, lanjut ke penderitaan mental. Sungguhpun santai, mereka tetap tampil dengan energi yang asyik dengan slot rehat yang minimal.
Kekuatan kreativiti visual juga mendokong perjalanan konsert ini dalam menyampaikan pesanan positif yang terhimpun dalam bait-bait lirik mereka. Elemen ini yang menjadikan persembahan tersebut interaktif dan terbuai-buai dengan imaginasi walaupun ada masa visualnya tidak senada dengan lantunan audio.
Kepuasan jelas di raut wajah peminat yang pulang dengan bersenang-senang selepas menikmati ritual penyembuhan yang berlangsung selama dua jam. Semoga keintiman ini menjadi malam yang tidak akan pernah mereka lupakan.
Terima kasih Fourtwnty untuk itu dan tahniah Shiraz Project untuk ini. Semoga lancar siri-siri lain yang berbaki.