Maka terciptalah satu malam yang penuh gilang gemilang apabila Cromok tampil di konsert solo ulang tahun ke-30 album keramat Forever In Time di Zepp KL pada 14 Oktober 2023, Sabtu kelmarin. Menjadi saksi kepada lebih dua ribu peminat Cromok yang dibarisi oleh Sam, Karl, Shah dan Apis kali ini benar-benar membuktikan mereka adalah legenda hidup yang tak terkalahkan.
Menurut Karl di dalam sebuah temubual bersama Music Addicts Malaysia;
Perancangan untuk konsert ulang tahun ini tercetus daripada permintaan peminat-peminat tegar yang tidak putus-putus bertanyakan tentang bila mereka hendak mengadakan konsert. Ditambah dengan rungutan peminat yang tidak puas menyaksikan persembahan Cromok yang hanya sempat memainkan tiga buah lagu sahaja di sebuah festival pada penghujung tahun lepas.
Sebelum konsert bermula, para hadirin dihidangkan dengan sebuah layar yang memaparkan kiraan masa untuk acara bermula. Kredit besar harus ditujukan buat seluruh kru penganjur yang berjaya memulakan acara tepat pada jam 8:30 malam seperti yang dijanjikan.
Mempertaruhkan album mereka yang paling banyak terjual sepanjang zaman, Cromok memulakan acara dengan lagu Memories dengan penuh bertenaga. Lontaran vokal Sam masih dalam keadaan utuh dan meremangkan, diikuti beberapa lagu lagi seperti Castaway, Colour of Truth dan Unicorn disulami jeritan dan growl rencah thrash metal bawaan Cromok yang tiada tolok bandingnya.
Seakan terpukau dengan kualiti bunyi-bunyian yang dihasilkan, showmanship Karl dan Shah tidak boleh dipertikaikan lagi. Kedua-dua mereka bergilir-gilir menyajikan solo-solo gitar yang ikonik di setiap lagu pada malam itu. Walaupun senarai lagu yang dipersembahkan tidak mengikut turutan di dalam album, pilihan lagu-lagu dari album lain yang diselang-selikan juga menambahkan lagi hype dan vibe konsert ini. Lagu-lagu seperti Little One, The Other dan Obsessed mudah sahaja membuai mat metal yang hadir kembali bernostalgia kenangan puluhan tahun dulu. Ya, rata-rata mat metal yang hadir majoritinya boleh dikatakan berumur lewat 30an hingga 50an, sesuai dengan umur ahli-ahli Cromok itu sendiri.
Untuk selingan, dipancarkan beberapa footages lama untuk mengimbau perjalanan Cromok sebagai sebuah band yang sudah mencecah 36 tahun penubuhan sejak tahun 1987. Juga beberapa temubual dengan orang-orang yang terlibat secara langsung dengan entiti Cromok. Terdapat satu footage di mana Karl menceritakan maksud di sebalik penciptaan lagu Another You, di mana lagu tersebut sebenarnya ditujukan buat tanahair tercinta Malaysia yang dicipta ketika beliau berkelana di luar negara dahulu.
Sebaik sahaja intro lagu Another You dimulakan, hampir semua mat metal tidak melepaskan peluang mengangkat telefon masing-masing untuk merakam detik bersejarah sebuah lagu agung ciptaan Cromok dimainkan live di depan mata. Untuk imbasan, plucking lagu Another You adalah lagu wajib belajar buat sesiapa yang mula pegang gitar pada tahun 90an dulu.
Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu hits Cromok seperti Siblings, Misery dan Misty. Kelainan yang ditonjolkan pada malam itu adalah fusion metal apabila digabungkan dengan alat muzik tradisional Melayu seperti angklung, seruling dan cak lempong di beberapa lagu di set terkebelakang, sesuai dengan jenama Thrashditional yang cuba diketengahkan mereka.
Pentas berehat seketika bila Sam memperkenalkan ahli yang beraksi pada malam itu serta menjemput beberapa tulang belakang kru konsert ke pentas. Anak arwah Din, Kamelia juga diberi peluang memberikan sepatah dua kata sebagai penghormatan kepada ayahnya yang mengasaskan band Cromok dulu. Untuk menjawab segala persoalan ke mana hilangnya drummer asal iaitu Miji, tuan badan sendiri tampil di pentas dan mengumumkan pengunduran dirinya dari Cromok atas sebab kesihatan dan spiritual. Sebagai simbolik perpisahan, lagu Farewell dimainkan untuk Miji.
Set penutup acara, sebuah lagi lagu intrumental agung I Don’t Belong Here disajikan berserta lagu terakhir Journey menjadikannya encore keseluruhan konsert pada malam itu.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan konsert Forever In Time 30th Anniversary ini adalah konsert band tempatan terbaik pada tahun 2023 ini. Penganjuran yang amat teliti dan sangat berkualiti. Tiada kedengaran langsung bunyi humming instrumen, malah band di pentas tidak perlu mengarahkan soundman membetulkan itu dan ini. Segalanya hampir sempurna kiri dan kanan dari mula hingga akhir.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Pengarah Konsert, Norwafiz Nordin serta team produksi teknikal daripada Digital Soundwork yang telah memberikan yang terbaik kepada semua pembeli tiket. Memang berbaloi!
Namun setiap yang sempurna pasti ada sedikit kekurangannya. Pertama, agak kekok juga sebenarnya melihatkan mat metal semua yang hadir hanya berpeluk tubuh menganggukkan kepala melayan rentak lagu walau sudah banyak lagu hits disajikan. Boleh dikira dengan jari, seorang dua yang benar-benar headbanging. Tiada langsung aktiviti moshing dan bodysurf kelihatan. Ya, diulangi majoriti mat metal yang hadir sudah berumur 40-50an yang mungkin terjaga-jaga kesihatan badan. Menjadi tanda tanya ke mana hilang anak-anak muda metal pada malam itu. Kedua, bassline yang kurang kedengaran dari permainan Sam seperti sama dengan konsert-konsert Cromok yang terdahulu.
Ketiga, gabungan alat muzik tradisional seakan mengganggu solo gitar di beberapa lagu terutamanya lagu Another You.
Walau apa pun, konsert ini pasti akan kekal terpahat di dalam memori manis para hadirin buat selamanya, Forever In Time.