Pada tarikh 12 Disember 2021, kugiran punk rock Terrer telah melancarkan video muzik (MV) rasmi single pertama mereka yang berjudul Hang Loklaq di YouTube. Diambil daripada EP Kaum Lelaki mereka yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, trek ini hadir dengan jangka masa selama 2 minit 57 saat.
Terrer menampilkan keunikan di dalam MV mereka dengan konsep lelaki berpakaian kurung dan kebaya. Mewakili kaum wanita, Terrer membidas segelintir golongan lelaki yang acapkali mengeluarkan komen-komen negatif di media sosial terhadap aurat dan pemakaian wanita.
Jika diteliti lirik Hang Loklaq, Terrer menujukan kritikan mereka terutamanya kepada golongan lelaki yang kerap meninggalkan komen mengenai aurat wanita dengan cara yang kasar, dan bertingkah seperti utusan tuhan. Ironi dengan kebanyakan lelaki ini, mereka juga yang terkantoi melayan video dan gambar lucah terutamanya di laman media sosial.
Menurut mereka, proses rakaman video telahpun dimulakan sejak daripada 15 Oktober 2019, namun terpaksa ditunda disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda. Baru kini mereka ada kesempatan untuk melancarkan MV rasmi single tersebut.
Dengarkan single Hang Loklaq di saluran Youtube Terrer. Ikuti laman Instagram mereka untuk informasi dan kemaskini EP mereka yang bakal dilancar pada tahun depan.