The Goblokes Belum Puas!

Trio Rockabilly Dari Kuala Lumpur Yang Akan Mengubah Landskap Muzik Malaysia

oleh Aniq Ammar Ekhwan
936 bacaan

The Goblokes baru sahaja meluncur single pertama mereka, “Cara Kami” di kesemua platform strim digital pada 1 September 2024.

Ditubuhkan pada November 2023, The Goblokes merupakan kumpulan trio Rockabilly dari ibu negara yang semakin mencuri perhatian. Trio ini terdiri daripada Khid (pemain gitar dan vokal), Boi (pemain bass) dan Chemenk (pemain drum) yang berkongsi minat mendalam terhadap muzik Rockabilly dan budaya tahun 1950-an yang penuh gaya. Dari jaket kulit hingga pompadour ikonik, mereka berusaha memperkenalkan genre ini di Malaysia seperti mana ia diterima di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Berbeza dengan kebanyakan kumpulan Rockabilly yang kebiasaannya terinspirasi oleh pengaruh barat, The Goblokes sepakat menegaskan identiti tempatan mereka. The Goblokes tetap berpegang teguh terhadap bunyi autentik Rockabilly sambil menyuntik identiti Malaysia dalam unit ini. Bahkan, logo rasmi kumpulan ini juga mengandungi perkataan “Malaysian Rockabilly” sebagai simbol identiti mereka.

Nama kumpulan ini juga mempunyai makna yang mendalam. Ia merupakan gabungan perkataan Indonesia yang terkenal, “goblok” bersama dengan perkataan Inggeris “Go” dan “Blokes”. Ini adalah satu penghormatan kepada Chemenk, ahli kumpulan yang berasal dari Padang, Indonesia, sekaligus mencerminkan hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia dalam kumpulan ini.

“Kami juga ambil perkataan ‘goblok’ dengan niat mengubah persepsi perkataan buruk “tolol” kepada yang lebih positif “go” dan “blokes” bagi 1. melambangkan genre muzik yang rancak dan mengajak orang menari – 2. “pergi” menikmati lagu2 50an”

Sebelum mereka, Malaysia pernah ada sebuah band yang diberi nama Sarip Dol dan Samseng Kampung Dusun (SKD) dan aku tertanya adakah SKD menginspirasikan penubuhan The Goblokes? Ini merupakan jawapan Khid:

Sarip Dol tidak ada kena-mengena dengan pembentukan kami sebagai sebuah kumpulan. Sebenarnya, saya memang peminat muzik country tradisional sejak dulu, dan pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan keluarga yang dipanggil The Gombak Hillbillies. Boi sebenarnya belajar bermain double bass kerana minatnya terhadap muzik psychobilly. Chemenk pula sudah lama bermain muzik Rockabilly di Indonesia sebelum datang ke sini.

 

Kalau ada apa-apa pun, ketiadaan Sarip Dol mencipta satu kekosongan yang menunggu untuk diisi. Kami juga kawan rapat dengan ahli-ahli Sarip Dol, tapi untuk mengatakan bahawa Sarip Dol adalah sebab kami mula bermain Rockabilly tidak benar. Cuma, ketiadaan mereka mungkin membantu kami lebih menonjol berbanding jika Sarip Dol masih aktif.

Single pertama mereka, “Cara Kami” bukan sahaja menarik perhatian kerana ditulis dalam Bahasa Malaysia, tetapi juga kerana mesejnya yang mendalam. Lagu ini menggabungkan elemen Rockabilly yang unik dengan pengaruh tempatan, sambil tetap setia kepada tradisi muzik Rockabilly yang asli. Dicipta sebagai tindak balas kepada insiden di Good Vibes Festival pada Julai 2023 yang melibatkan kumpulan The 1975, “Cara Kami” membawa dua mesej penting. Pertama, ia menegur mereka yang gagal menghormati budaya dan nilai negara tuan rumah. Kedua, ia menyindir isu xenofobia dan pemikiran sempit yang sering wujud dalam masyarakat global.

Rakaman lagu-lagu The Goblokes dilakukan secara langsung di sebuah bilik kecil, dengan bantuan Mokhtarizal dari Iseek Studio, seorang individu yang terkenal dalam skena muzik tempatan.

Walaupun tiada penerbit rasmi, Mokhtarizal memberikan nasihat penting, termasuk menasihatkan kumpulan ini untuk melepaskan sikap perfeksionis demi mendapatkan suasana rakaman yang lebih organik dan autentik. Selain itu, lagu-lagu mereka juga mendapat sentuhan adunan dan mastering dari Indonesia oleh seseorang yang dikenali sebagai ccx90s di studio  CCX Garage, menambahkan lagi sentuhan internasional kepada projek mereka.

Producer – per say – tak ada. So I guess it was us. But we had a lot of help and advice from Mokhtarizal on what to do so I don’t know if that makes him the producer or not. We were lucky sebab both Mokhtarizal and ccx90s understand the genre and what we were trying to go for.

Menggunakan teknik rakaman langsung ini adalah satu usaha untuk menangkap “vibe” Rockabilly yang klasik serta memberi suasana “old school” yang kian dilupakan.

Kami ingin menghasilkan muzik yang benar-benar autentik, seperti bunyi yang dihasilkan oleh ikon-ikon Rockabilly dari era 1950-an seperti Elvis Presley, Hank Williams, Carl Perkins, Stray Cats dan Johnny Cash.

The Goblokes mempunyai misi yang jelas; menanamkan minat terhadap Rockabilly dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda. Mereka yakin bahawa walaupun genre ini mungkin kelihatan niche, terdapat potensi besar yang boleh direbut. Mereka telah melihat bagaimana anak muda tempatan semakin tertarik kepada genre ini dan percaya bahawa mereka berperanan penting dalam mengisi kekosongan tersebut di persada muzik tempatan.

Visi mereka adalah untuk menjadi pemula dalam perkembangan budaya Rockabilly di Malaysia, sambil mengekalkan ciri-ciri dan adab tempatan. The Goblokes percaya pada penggabungan budaya dan ingin memastikan muzik mereka mencerminkan identiti Malaysia yang kaya.

Aku juga sempat bertanya berkenaan apa pelan mereka pada masa hadapan dan ini merupakan jawapan Khid:

Setelah melancarkan album pertama nanti, The Goblokes merancang untuk menjelajah Asia, termasuk negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Singapura.

 

Impian kami adalah untuk membawa muzik Rockabilly Malaysia ke pentas antarabangsa, dengan matlamat utama untuk tampil di acara dan festival Rockabilly dunia seperti Viva Las Vegas, sambil membawa nama Malaysia bersama.

Terima kasih atas karya ini. Aku mendoakan kesejahteraan mereka dan jangan pernah putus harapan.

Ikuti The Goblokes di:

Facebook

Instagram

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅