
Selepas hampir tiga dekad mencipta sejarah, Slam bakal menghidupkan semula magis konsert ikonik mereka menerusi The Grand Slam Unplugged 2 yang akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Konsert ini dibawakan oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmar Records sebagai sekuel kepada The Grand Slam Unplugged yang pernah berlangsung di Stadium Merdeka pada 3 Ogos 1996, sebuah persembahan bersejarah yang tetap dikenang meskipun berdepan gangguan elektrik ketika itu.
Menurut gitaris Slam, Shah, The Grand Slam Unplugged 2 bukan sekadar konsert ulang tayang, sebaliknya sebuah apresiasi terhadap karya dan peminat yang setia menyokong Slam sejak era kaset, CD sehingga ke dunia penstriman.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah tentang kenangan, perasaan dan keraian lagu-lagu Slam yang terus hidup merentas generasi. Ia juga sebuah perayaan kekuatan Slam untuk terus bertahan dan kekal relevan dalam industri muzik,” katanya.
Konsert ini bakal menampilkan persembahan akustik Slam dalam konsep matang yang menjanjikan pengalaman intim dan penuh emosi kepada peminat, selain mencipta momen baharu berteraskan nostalgia silam.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah momen kita semua kembali merindu dan semoga tidak ada yang terasing dalam sepi. Itu janji Slam,” tambah Shah.

The Grand Slam Unplugged 2 akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Megastar Arena Kuala Lumpur. Peminat disarankan menandakan tarikh ini dan menantikan pengumuman lanjut daripada Slam bagi mengelakkan ketinggalan dalam pembelian tiket nanti.

