Kumpulan rock tempatan, Tirani terus mengorak langkah dengan pelancaran single terbaharu mereka, Blues Untok Ana.
Ditubuhkan pada tahun 2016 di Teluk Intan, Tirani terdiri daripada empat ahli berbakat iaitu Ayen (vokal dan bass), Opi (gitar dan vokal), Hafiz (gitar) dan Luqman (dram dan vokal tambahan).
Muzik mereka adalah hasil gabungan unik antara rock n roll klasik dan pengaruh garage yang kasar, diperkaya dengan elemen etereal yang menambah kedalaman bunyi Tirani. Lirik mereka sering meneroka perjuangan hidup harian, emosi dalaman dan tema peribadi serta konseptual.
Bercerita tentang lagu, Blues Untok Ana menggabungkan elemen rock n roll klasik dengan pengaruh muzik garage, dihasilkan dengan lirik yang bersahaja dan chorus yang mudah diingati, menjadikannya satu karya yang mudah dinikmati oleh pendengar.
Menerusi perbualan bersama Opi, lagu ini diinspirasikan oleh pengalaman peribadi serta pemerhatiannya terhadap situasi sekeliling pada tahun 2017. Kisah perjuangan ahli kumpulan Rimba Bara dalam filem ‘Rock’ arahan Allahyarham Mamat Khalid turut menjadi sebahagian daripada inspirasi, menggambarkan kemelut yang sama dihadapi oleh kumpulan muzik tempatan untuk mendapat tempat dan mencapai kejayaan. Inspirasi ini juga diterjemahkan dalam muzik video rasmi Blues Untok Ana yang menyelitkan petikan artikel tentang isu-isu semasa industri muzik tempatan sebagai simbolik mesej. Menurut Opi,
Arrangement lagu ni kita start dengan riff ala chromatic tu dan slowly kita develop parts lagu ni time jamming kat studio. Hafiz (gitaris) dia ada banyak idea riff yang ringkas dan on the spot, jadi bila dia main riff tu, kita dah dapat rasa pembentukan lagu ni, seharusnya tak perlu pening kepala, lebih melodik dan fokus pada penulisan lirik. Jadi Hafiz banyak sumbang pada pembentukan bahagian-bahagian dalam lagu ni. Man (drums) dia memang pantas. Dia dapat feel lagu ni sekelip mata, dan faham signal yang kami bagi dalam setiap part. Tahu je mana nak ‘cedok’, mana nak ‘pukul’.
Tapi lepas demo melodi aku hantar kat Ayen, Ayen shape sebahagian melodi tu untuk lebih rock/bluesy. Bila dapat jam pertama kali dengan ayen punya lontaran vokal, aku terus meremang. Terus feel. Inilah dia barangnya. Ayen power. All hail Ayen.
Tirani juga tidak terlepas daripada menghadapi cabaran sebagai kumpulan muzik tanpa nama dan arah tujuan pada awalnya. Namun, mereka terus berusaha dan menghasilkan muzik yang berkualiti. Blues Untok Ana adalah refleksi perjuangan ini dan mereka bertekad untuk terus berkarya sehingga diterima dalam industri muzik.
Dengan beberapa single dan video muzik yang bakal dilancarkan, Tirani sedang dalam proses menyiapkan material untuk album baharu mereka. Mereka turut berjanji untuk terus meneroka, melepaskan bahan-bahan berkualiti serta memberikan persembahan yang hebat demi kepuasan diri dan pendengar.
Ikuti perkembangan Tirani di