Pop punk telah melalui evolusi yang ketara sejak kemunculannya pada awal 90-an, dan tahun 2024 menyaksikan genre ini terus berkembang dengan gabungan unsur muzik yang pelbagai. Daripada pengaruh klasik hingga kepada inovasi moden oleh artis seperti Machine Gun Kelly (MGK) yang berjaya menggabungkan unsur rock dan hip hop dengan begitu lancar, pop punk kini merangkumi spektrum muzik yang lebih luas.
Di Malaysia, pop punk juga tidak ketinggalan untuk berkembang. Band seperti Panasejook membawakan nuansa pop punk klasik dengan sentuhan moden, bahkan menggunakan lirik dalam Bahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa genre ini bukan sahaja masih relevan, tetapi juga terus menjadi pintu masuk utama kepada muzik alternatif. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Darren, vokalis utama An Honest Mistake;
“Pop punk ni kira mcm Darjah 1 la dalam dunia rock, yang menjelaskan peranan genre ini sebagai titik permulaan untuk meneroka genre lain seperti emo dan hardcore.”
Album kelima daripada An Honest Mistake yang bertajuk “The Lonely Hearts Club” adalah karya yang memperlihatkan perkembangan dan kematangan mereka dalam bermuzik. Ditulis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), album ini menggambarkan emosi yang mendalam dan perasaan kecewa yang dialami oleh vokalis dan penulis lagu utama band tersebut. Menurut mereka,
“Album ini bermula dengan rasa marah, tapi kemudian berubah menjadi lebih gembira, sebelum berakhir dengan perasaan damai.”
Dalam proses pembikinan album ini, mereka banyak bereksperimen dengan elemen-elemen muzik baharu seperti trap beats, synths dan juga penggunaan MIDI untuk mengawal keseluruhan proses rakaman. Lirik dalam album ini sangat peribadi di mana menyentuh tentang pelbagai emosi dan perasaan yang mungkin dialami oleh sesiapa sahaja.
The Lonely Hearts Club dibuka dengan intro post-rock. Trek ini bertujuan untuk memperkenalkan versatiliti band dan menyediakan pendengar untuk pengalaman album secara keseluruhan. Ia juga menggabungkan elemen post-rock yang diilhamkan oleh dua anggota band yang juga terlibat dalam projek muzik lain. Kemudian disambung dengan ‘I, Suffocate ft. Amanda Love, LOGuitarist & Ewan Roslan’. Lagu ini menceritakan tekanan hidup dalam dunia yang serba cepat. Walaupun bertemakan perasaan tercekik oleh kehidupan, ia tetap memberi harapan dengan mesej “I will survive” dalam bahagian bridge.
Selepas itu, ‘I Don’t Give A Damn’. Lagu ini mencetuskan permulaan album dengan bunyi yang lebih groovy. Liriknya dibentuk daripada pengalaman seorang rakan band yang melalui perpisahan, dengan chorus yang dinyanyikan oleh Sheryl, bekas penyanyi band ini. Secara halus, trek seterusnya ‘All Over Again’ telah menonjolkan peralihan ke arah bunyi yang lebih gelap dan berat, dengan elemen post-rock dan emo yang kuat. Ia menceritakan kisah hubungan masa lalu yang masih meninggalkan kesan mendalam. ‘Bad Dream ft. Ayeen Patriots and Jack Bright Minder’ pula terinspirasi daripada mimpi buruk semasa PKP. Lagu ini menggambarkan perasaan terperangkap dan lemas dalam keadaan yang tidak menentu kemudian disambung dengan Clouds, sebuah interlude yang dibikin sepenuhnya daripada loops, memberikan pendengar masa untuk berehat dan mengambil nafas ketika melalui perjalanan album ini.
‘Never Feel The Same’ lebih tenang dengan suasana yang santai; menceritakan pengalaman bekerja dengan seorang artis yang akhirnya terpaksa dilepaskan kerana kekurangan inspirasi. Kemudiannya dinamik bertukar menerusi ‘Forget Me ft. Maruxa Lynd & Reckless Escapades’ di mana melibatkan kolaborasi dengan dua rakan artis, menambahkan elemen hip hop dan rock yang diinspirasikan oleh MGK.
‘There won’t be another you ft. khodi (Cleo’s song)’ pula lagu yang paling peribadi dalam album ini, menceritakan kesedihan kehilangan anjing peliharaan yang sangat disayangi. Tidak terhenti di situ, lahir pula trek ‘Too Good To Be True ft. RESHMA’, sebuah lagu yang diinspirasikan oleh pertemuan semula dengan seorang penyanyi berbakat dari Akademi Fantasia, dengan bunyi yang lebih ke arah indie pop. ‘Goodbye, goodnight ft. Vinesh Trophy Knives’ pula membawa tema perpisahan dengan nada yang ceria tetapi lirik yang gelap, menampilkan elemen double pedal dan solo gitar yang unik.
Seterusnya, ‘Unwritten; empty stones’ telah membawa mesej yang paling punk, mengajak pendengar untuk menjadi penentu nasib mereka sendiri dalam kehidupan dan yang terakhir, ‘Iusedtobelonelybutnotanymore’, trek penutup yang menyimpulkan perjalanan emosi album ini, memberi kesimpulan bahawa setelah melalui kemarahan dan kesedihan, akhirnya kita akan mencapai kedamaian.
Pop punk mungkin telah berubah wajah, tetapi seperti yang dinyatakan oleh An Honest Mistake, “Pop punk never dies.” Genre ini terus berkembang dan menjadi platform untuk ekspresi diri, tidak kira dalam bentuk klasik atau dengan pengaruh moden. Album “The Lonely Hearts Club” adalah bukti bahawa pop punk masih mempunyai tempat yang istimewa dalam dunia muzik, membawa bersama mesej yang kuat dan relevan untuk pendengar di seluruh dunia.
Ikuti perjalanan An Honest Mistake di: