Selalunya, penulis akan menolak untuk pergi ke konsert penyanyi yang tidak penulis kenali, atau penulis tidak mesra dengan muzik dan lagu-lagunya. Akan tetapi entah kenapa, ketika mendapat perkhabaran bahawa Feby Putri bakal kembali berpentas di Kuala Lumpur sekali lagi tahun ini, penulis ketepikan sahaja pegangan ini. Seakan ada suara menyatakan cukup rugi kalau peluang menikmati persembahan live gadis kenit ini ditolak dan diketepikan.
27 Julai yang lalu, Feby dan pasukannya memilih untuk membawa kegembiraan buat para peminatnya menerusi KONSERT FEBY PUTRI VOL 2, “DETIK.MENIT.JAM” LIVE IN KUALA LUMPUR. Konsert diadakan di Zepp Kuala Lumpur, cukup sesuai kerana menjanjikan pengalaman yang lebih intimate antara Feby dan ribuan penyokong setianya.
Tepat jam 8.00 malam, tirai pentas dibuka dengan menampilkan penyanyi berbakat besar tempatan, Megat Fazly. Walaupun peminat sudah tidak sabar menantikan Feby hadir di panggung, mereka tetap teruja dan memberi sokongan penuh ketika Megat Fazly dan team muziknya membuat persembahan. Empat lagu dihadiahkan sebagai pembuka panggung; Bintang Berkelipan, Minta Maaf Lagi, Tatkala Rindu dan Berseri. Megat membuktikan bahawa kita tidak pernah ketandusan bakat baharu, cuma penerimaan masyarakat perlu diperkukuhkan bagi membantu melonjakkan nama mereka dalam arena muzik tanah air.
Tidak memerlukan sebarang gimik, tepat jam 8.35 malam, pemilik nama penuh Feby Putri Nilam Cahyani mengambil alih pentas dan bersedia untuk membimbing para peminat meneroka kisah-kisah dalam lagunya. Seperti peminatnya selalu nantikan, panggung terus sahaja dilimpahi dengan keceriaan saat dia menguasai acara.
Tanpa Pamrih dipilih sebagai lagu pembuka salam malam tersebut. Peminat setianya perlahan-lahan mula larut dalam penyampaian Feby. Akan tetapi, ada part-part notasi rendah yang sedikit tenggelam hingga suara beliau tidak kedengaran. Mungkin lagu pertama jadi gemuruh di dada gadis berusia 24 tahun ini belum hilang lagi. Bila saja dia mula menyapa peminat selesai lagu pertama, momentum beliau dilihat lebih baik kerana fans Feby cukup supportive dan masih lagi teruja untuk menantikan apa lagi yang akan dia berikan.
Alih, Andai Kata, dan Sendiri Dulu menyusul didendangkan silih berganti. Selang lagu, Feby mencuri masa untuk bercerita kisah-kisah di balik lagu yang dia karang. Kalau kita teliti satu demi satu lirik yang dia tulis, semuanya cukup bermakna walau bersahaja. Ditulis seperti mudah, tetapi indah. Sempat penulis tanyakan pada Feby pada sesi press conference, dari mana dia punya ilham untuk menulis cerita terluka dan bahagia dalam liriknya. Ternyata, minat beliau dalam membaca buku puisi, menjelmakan ilham-ilham puitis yang dicoretkan pada kanvas lagunya. Menjadikan Tere Liye sebagai penulis favourite, Feby selalu mencuri masa membaca bagi memastikan dia selalu punya idea dalam berkarya.
Walaupun di mata peminat, Feby merupakan bintang yang mereka kagumi, namun dia juga manusia biasa. Berkongsi kisah di balik lagu Halu, Feby mengimbau kembali kenangan bersama Almarhum bondanya. Lebih manis, ada bahagian korus yang dinyanyikan oleh bondanya. Feby membiarkan peminat menikmati kelunakan suara ibunya sambil dia berusaha untuk mengawal emosi di atas pentas.
Tidak hadir kosong tanpa buah tangan terbaharu, kedatangan beliau pada malam itu bersama naskah baru bertajuk Tangan-Tangan Ucap Perpisahan. Saya kira peminat di Malaysia cukup bertuah kerana menjadi penonton pertama yang menyaksikan lagu ini dipersembahkan secara langsung. Lagu ini baru saja diluncurkan 2 hari sebelum konsert di kota Kuala Lumpur.
Berkongsi inspirasi di sebalik lagu ini, Feby bilang bahawa dia menjadikan lambaian tangan itu sebagai metafora sebuah perpisahan langsung dinukilkan menjadi sebuah lagu. Seperti dirinya yang mula melangkah ke kota besar demi menyambung pelajaran, pengharapan oleh orang tuanya agar dia berjaya dijelmakan dalam lagu ini. “Sukses ya anak di kota perantauan” – pesan sang ibu dan bapa yang menjadi azimat bergema di mindanya, akhirnya dia persembahkan kepada umum menerusi Tangan-Tangan Ucap Perpisahan.
Malam itu, penonton di Zepp Kuala Lumpur saya lihat cukup leka dan hanyut dalam dunia jelmaan Feby. Lirik-liriknya yang seperti candu, mengkhayalkan dan membuatkan ramai terpegun. Kongsi beliau, paling menyentuh hatinya apabila beliau menerima ucapan terima kasih dari peminat kerana lagu-lagunya menjadi peneman ketika mereka jatuh, sedih, dan kecewa. Bilang peminat, lagu Feby sering kali dimainkan untuk mereka healing dan bangkit.
Apalah ertinya beliau berkonsert di Malaysia kalau lagu-lagu popularnya tidak dipersembahkan pada malam itu. Penulis secara peribadi cukup suka dengan lagu Usik. ‘Tapi menurutku Tuhan itu baik’ – lirik yang diulang berkali-kali dalam lagu ni. Bersahaja liriknya tapi membawa maksud yang cukup besar.
Kembali Pulang dan Runtuh menjadi lagu yang paling dinantikan pada malam itu. Satu dewan bergema dengan sorakan peminat ketika Feby mula mengalunkan yang cukup popular ini. Menerusi semakan di Spotify, Runtuh menjadi lagu Feby paling kerap dimainkan dengan jumlah lebih empat ratus dua puluh satu ribu diputarkan. Dan Kembali Pulang pula dimainkan lebih dari seratus lapan puluh empat ribu kali. Katalog muzik beliau di Spotify secara total telah dimainkan lebih dari 881,000,000 kali. Pencapaian cukup luar biasa buat penyanyi baru dan muda seperti Feby Putri.
Diusik setelah dua tahun dia terbang dan menghiburkan peminat di sini, tidakkah dia mahu menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya dan selalu pulang ke sini bermain dan bergembira di atas pentas bersama kita semua, pantas saja beliau nyatakan itu antara hasrat hatinya. Tinggal lagi menjadi artis yang bergerak sendiri, kekangan modal dan kewangan menjadi cabaran utama buat dirinya. Namun kalau dikurniakan rezeki, Feby berjanji Kuala Lumpur pasti akan selalu dia kunjungi. Peminat di sini dia bilang, akan selalu punya tempat special di hatinya.
Malam itu, pastinya para peminat pulang penuh keriangan. Sudah tentu mereka berjalan pulang ke rumah dengan bernyanyi lagu-lagu si muda tapi gelia dari negara tetangga. Roh Feby seperti tidak mudah untuk ditinggalkan, tambahan pula aspek-aspek teknikal seperti grafik LED yang kemas dan membantu menaikkan mood setiap lagu, persembahan muzik live dari band cukup cemerlang walaupun semuanya sama seperti Feby – anak muda yang mengejar impian dalam lapangan seni. Tidak lupa juga bahawa sorakan, teriakan, jeritan dan tenaga peminat pada malam itu, menjadi penyumbang utama Feby Putri cemerlang di atas panggung.
Ternyata Indonesia punya pasukan tentera muzik yang cukup hebat. Saban tahun ada sahaja anak muda tampil untuk memeriahkan arena seni di sana. Mereka hadir bukan kosong dan saja-saja, hampir kesemua tampil garang dan cukup bersedia. Mereka tahu jalur muzik yang perlu mereka bawa dan direction bagaimana perlu mereka susun atur dalam membina nama dan mencipta jenama di industri muzik nusantara. Feby Putri antara aset muzik Indonesia yang patut mereka banggakan!