Alena Murang sekali lagi mengharumkan nama negara apabila video muzik (MV) single terbaharunya, Warrior Spirit berjaya meraih dua anugerah di International Music Video Award (IMVA) 2021. MV itu berjaya memenangi Anugerah Muzik Video Terbaik Asia Pasifik dan Anugerah Penggayaan Pakaian Kostum Terbaik dalam temasya tersebut.
MV yang diluncurkan di YouTube pada 27 Mei 2021 lepas diarahkan oleh Sarah Lois Dorai yang juga merupakan sepupu beliau dan dihasilkan dengan kerjasama oleh Project Room dan Kanid Studio. Ternyata MV ini membawa tuah besar kepada Alena Murang kerana turut tercalon di suku akhir Los Angeles Film Award 2021. Pencapaian membanggakan ini dikatakan berturut-turut dari pasukan sama yang menerbitkan MV Midang Midang yang juga telah memenangi anugerah Penggayaan Terbaik di Festival Video Muzik Bueno Aires 2020 (BAMVFEST20) di Argentina November tahun lalu.
Artis kelahiran Sarawak yang kini menetap di Kuala Lumpur ini juga dikenali sebagai Sarawak’s Sape Sweetheart menyatakan bahawa rentak lagu ini adalah gabungan kreatif trek instrumental sape’ dan gitar elektrik. Rentak lagu ini ternyata sesuatu yang segar buat peminat muzik tradisional sape’. Apatah lagi, lagu ini mempunyai bunyi yang membangkitkan semangat, sesuai dengan tajuknya yang membawa maksud Semangat Pahlawan.
“Saya berasal dari keturunan barisan pahlawan dari suku bangsa Dayak Kelabit dan moyang saya iaitu Balang Nganud dikenali di kalangan komuniti kami sebagai ‘Sang Harimau yang melayang kepala musuh’. Walaupun saya tidak lagi mengamalkan amalan tersebut, tetapi saya yakin ramai rakyat Malaysia dan komuniti-komuniti lain di seluruh dunia boleh mengaitkan semangat pahlawan yang datang dari budaya dan adat masing-masing melalui lagu ini,” ujar Alena.
Jika menonton MV lagu ini pula, sebenarnya ia lebih dari sekadar sebuah video instrumental ataupun video tarian semata-mata. Pengarah muzik video Warrior Spirit, Sarah Lois Dorai memberitahu bahawa MV ini dihasilkan dengan hasrat menunjukkan sebuah penyataan visual yang menggambarkan identiti budaya sebenar dan keunikan masyarakat Borneo berbanding pelan asalnya yang hanya ingin mengetengahkan video tarian lagu semata-mata.
Tambah Sarah, “Kemenangan ini diharap mampu membuka mata lebih ramai pihak tentang kepelbagaian budaya di negara kita terutamanya kaum minoriti.”
Bagi mereka yang terkesima dengan kostum dan pakaian yang digunakan oleh Alena dan pasukannya dalam MV ini, ia adalah sentuhan magis pereka fesyen tempatan, Styllar dan juga jurumekap terkemuka, Gebriel Padan. Rekaan kostum yang dipaparkan dalam MV lagu ini pula mengambil idea dari asal-usul Alena sendiri yang merupakan kaum asal Orang Ulu Kelabit.
Setakat hari ini, MV lagu ini sudah mencapai 100,000 tontonan. Selain di YouTube, lagu ini juga boleh dinikmati di Spotify, Apple Music dan KKBox.
Ikuti Alena Murang di: