Vokalis Raksar Jelmaan Joey BPR dan Man Kidal?

oleh Rahmat Mohd Did
2.8K bacaan

Kugiran fuzz rock Batu Gajah/ Ipoh, Raksar baru sahaja meluncur single ketiga mereka, Bentala pada 31 Julai 2021 dan akhirnya baru penulis dapat rasa energi dan kemampuan sebenar mereka.

Dua single sebelum ini iaitu Melakar dan Sang Pejuang bolehlah kita anggap sebagai introduksi sahaja kepada unit ini kerana ia lebih kepada permainan riff stoner rock yang berulang-ulang dengan sangat sedikit suntikan vokal. Dalam Bentala, mereka berevolusi 360 darjah dan mengaplikasi segala formula, sound signature dan ketajaman lirikal ke dalam sebuah naskah yang sangat dinamik.

Seperti kita sedia maklum, elemen paling penting dalam genre ini adalah mencari sound gitar paling berkerak dan mewujudkan riff paling menyengat, seolah-olah sudah jadi satu pertandingan. Tak cukup stoner kalau tak sampai ‘haul.’ Namun apa yang membezakan antara setiap band adalah sejauh mana kreativiti dan kemampuan mereka untuk kekal relevan dengan karya-karya yang asli dan mampu memikat khalayak yang mungkin kurang fasih. Kalau yang dah terbiasa dengar Black Sabbath, Electric Wizard, Sleep, The SIGIT, Mooner, Kelompok Penerbang Roket dan sebagainya mungkin tak ada masalah, tapi mungkin majoriti akan klasifikasikan muzik sebegini sebagai lapuk, bosan dan ketinggalan zaman. Di sinilah Raksar membuktikan bahawa mereka berbeza dan mampu bersaing dengan trend muzik masa kini yang lebih ‘lembut’ dan tepu. Salah satu aspek penting yang diketengahkan Raksar dan kurang dititikberatkan band lain adalah dari segi pakej imej visual. Berapa ramai anak muda sekarang yang masih berani berfesyen seperti ini, di era ini? Lihat juga seni visual mereka dalam poster, kulit album dan video muzik (MV). Semuanya selari dan padan benar dengan muzik yang mereka bawa sekaligus memberi satu identiti kepada Raksar sebagai sebuah band rock yang serius dan tidak bermain-main.

Menelusuri ruang komen di saluran YouTube mereka agak mencuit hati. Ramai yang menyamakan karakter vokal Azzim Luqman (vokal/gitar) dengan Joey BPR. Memang benar, kalau pernah dengar lagu 1511, boleh dikatakan 80 peratus sama. Ada juga yang komen muka macam Man Kidal. Haha!

MV Bentala menggunapakai stail era 70an yang mengiringi topik lirikal mereka tentang perang dan perebutan takhta. Tidak banyak yang boleh diperkatakan, namun ia sangat sesuai dengan apa yang ingin disampaikan. Dari segi kualiti bunyi, produksi Studio Anai-Anai ini boleh dipuji kerana setiap instrumen kedengaran seimbang dan mencapai standard ‘berkerak’ dan ‘berkeladak’ yang ingin ditampilkan Raksar.

Kepada yang belum tahu, Raksar telah merilis mini album Bentala pada bulan Mei yang lepas, memuatkan tujuh buah lagu fuzz rock yang meletakkan mereka ke dalam peta muzik Malaysia sebagai sebuah band baharu yang disegani. Hubungi mereka segera untuk mendapatkannya sebagai koleksi.

 

Raksar adalah:

Ahli Tetap : Azzim (vokal/gitar), Md Shahfari/ E (bass)

Sessionist : Afiq (Apek), Awie Joe (Drums) & Dani (Guitar)

 

Ikuti Raksar di:

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅