Hari ini seluruh Malaysia dikejutkan dengan pemergian penyanyi Siti Sarah Raissuddin yang merupakan antara penyanyi pop alaf moden seiring Dayang Nurfaizah, Syafinaz dan lain-lain setelah bergelut dengan Covid-19.
Anak kepada bekas penyanyi 80-an Raissuddin Hamzah ini mempunyai impak tersendiri terhadap industri muzik tanahair.
Namun, seperkara yang pasti menggamit setiap orang di Malaysia ialah bagaimana beliau bertanggungjawab mengimaginasi semula lagu duet epik 80-an ‘Sandarkan Pada Kenangan‘ bersama Jamal Abdillah dalam versi milenial (2003), lalu menghidupkan semula aura percintaan remaja dan menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
Lagu duet itu asalnya dinyanyikan Jamal Abdillah bersama Ogy Ahmad Daud pada tahun 1984 daripada filem ‘Azura‘ dan antara babak ‘cintan’ paling epik dalam filem itu.
Pemersatu Bangsa
Siti Sarah tahu cabaran yang menanti apabila mendapat peluang membawakan semula lagu tersebut, apatah lagi berganding duet dengan Raja Pop, Jamal Abdillah.
Bukan calang-calang orang yang boleh menggalas vokal duet lagu yang menjadi lagu ikonik dan memberi kesyahduan percintaan muda-mudi era 80-an.
Bagi generasi milenial sekitar 2000-an, pasti teringat bagaimana lagu nyanyian duet Siti Sarah dan Jamal ini kembali berkumandang menyeru dan menjadi siulan ramai ketika itu. Bagi generasi boomer, ia pasti menggilap kembali kenangan ketika era 80-an dan di sini, Siti Sarah adalah penyambung legasi kehidupan antara 2 generasi.
Vokal beliau dalam lagu tersebut adalah permersatu sebenar rakyat Malaysia yang dihubungkan dengan satu antem klasik yang meneroka ruang hati semua orang. Bagaimana vokal ulung dari seorang gadis berupaya menghidupkan kenangan, keriangan dan keindahan yang tidak lapuk ditelan zaman.
Deraian doa, kesedihan dan curahan belasungkawa yang mengiringi pemergian (satu ‘pemergian yang dicemburui‘) Siti Sarah pada hari ini menunjukkan golongan artis dan karyawan adalah mereka yang paling dekat dengan denyut nadi rakyat, satu singkapan nyata bahawa seni dan hiburan adalah satu-satunya perkara yang memberi imaginasi, impian dan harapan kepada semua orang.
Kini setelah ketiadaan Siti Sarah, kita mengetahui yang kita akan terus merindui dan sandarkan pada kenangan terhadap setiap kemanisan, kebaikan dan kemurnian seni beliau semasa hayat. Alfatihah….