Wings Kembali Dengan ‘Dubuk Liar’

oleh Rahmat Mohd Did
1,225 views

Kali terakhir Wings menghasilkan video muzik adalah pada tahun 2014 menerusi lagu Ingatkan Dia. Kini mereka kembali membuka tirai 2021 menampilkan lagu dan video muzik baharu berjudul Dubuk Liar yang disiarkan secara rasmi di YouTube Wings Opera TV pada 12 Januari 2021.

Dubuk Liar merupakan runut bunyi untuk telemovie 10 Tips Tipu Bini terbitan julung kali Dato’ Awie menerusi Rumah Produksi Merah yang diarahkan oleh Azizi ‘Chunk’ Adnan. Menjadikan jalan cerita 10 Tips Tipu Bini sebagai tunjang utama konsep video muzik, lagu ciptaan sepenuhnya Dato’ Awie ini disampaikan oleh Wings dengan penuh bertenaga!

Barisan anggota terkini Wings. Dari kiri: Black, Edrie Hashim, Awie, Syam dan Eddie.

Walaupun tanpa sentuhan Joe Branko, produksi Dubuk Liar berada di tahap terbaik dan sangat moden, sesuai dengan perkembangan Wings sendiri yang kini sudah berusia 36 tahun. Input dari Edrie Hashim dan Syam sangat dirasai bermula daripada intro akustik sehinggalah ke solo eksplosif di pertengahan lagu. Ia berbeza, tetapi bagi penulis secara peribadi, lebih baik daripada apa yang disajikan Wings melalui album terakhir mereka, Menakluk Kosmos (2014). Persembahan vokal Awie, permainan bass Eddie dan pukulan dram Black pula memang tidak perlu diragui lagi, tak pernah tak power!

Bagaimana pula pendapat kalian? Mampukah Dubuk Liar dan barisan anggota terkini Wings kembali menggegarkan pentas rock tempatan atau masih merindui kisah lama?

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati