Pertama kali menikmati lagu Battlecry, riff intronya sahaja secara spontan telah melahirkan perasaan teruja dan tidak sabar untuk terus mendengar. Bila sesebuah band mampu untuk menghasilkan hook seawal begini, pastinya ada sesuatu yang baik menanti.
Band yang mahu dikenali dengan nama King Vanta Black (KVB) ini baru sahaja meluncurkan lagu terbaru mereka pada 6 September 2023 di semua platform penstriman digital berserta video muzik (MV) rasmi di YouTube.
Dibarisi oleh Aliff Hiew sebagai vokalis dan Helmy Azizan di bahagian gitar, band asal Kuala Lumpur ini mengetengahkan konsep Adult Oriented Rock (AOR)/ Melodic Hard Rock yang berkiblatkan band-band legenda seperti Dokken, Skid Row, Whitesnake, Dio dan banyak lagi. Bercakap tentang single Battlecry, Helmy memberitahu;
Kami mula merakam pada awal bulan Jun dan lagu siap pada awal bulan Ogos. Untuk mixing dan mastering, kami memberikan kepercayaan penuh kepada JD Wong dari Studio 21:05 sebagai sound engineer kami. Untuk vocal recording pula, Mell Ahmad dan Lie Dona dari Symphony Universal Studio ditugaskan untuk mengendali sesi rakaman.
Sebaik sahaja Aliff melontarkan suara di verse pertama, sudah cukup untuk mengikat penulis untuk melayan keseluruhan lagu ini. Suaranya lunak pada pitch tinggi dan permainan melodi yang baik menambah lagi rasa membuai-buai kesedapan melayan Battlecry. Bakat sebegini pastinya mampu menambat hati peminat-peminat baru dengan mudah di sirkit gig tempatan. Lirik yang digarap pula seakan motivasi menceritakan tentang semangat diri untuk bangun kembali setelah kepayahan yang dilalui dalam hidup.
Setiap baris lirik dan melodi menceritakan tentang bolak-balik perasaan yang sering dialami dalam peperangan dalaman diri seseorang. Kekecewaan yang dibawa oleh pemikiran negatif; dan seseorang itu tahu bahawa dia sepatutnya menggunakan kekecewaan itu untuk menjadi pendorong untuk terus berusaha dan mencapai kemenangan dalam perjuangan hidupnya sendiri.
Helmy sebagai pemain gitar utama cemerlang dalam menyampaikan setiap gubahan riff yang clean serta garapan solo gitarnya yang mencengkam. Tidak lengkap jika lagu bergenre begini tidak dihiasi dengan solo gitar yang bergulung. Pada kebiasaannya, sebuah band yang lengkap sekurang-kurangnya dianggotai 3 atau 4 ahli. Namun pada ketika ini KVB hanya dibarisi dua ahli di posisi vokal dan gitar.
Sebenarnya kami adalah satu band yang full lineup pada awalnya. Cuma secara ringkas, bassist dan drummer tak panjang jodoh bersama kami dan terhenti sebelum sempat Hati Besi (single pertama kami) dirakamkan. Kami belajar bahawa untuk berjalan bersama sebagai satu unit atau band, ianya mengambil masa untuk kita dapatkan kesefahaman antara satu sama lain. InsyaAllah, satu hari nanti kami inginkan suasana bekerja dalam satu organisasi yang lengkap sekaligus menjadikan King Vanta Black bukan hanya satu “band” malah satu “brand.”
Walaupun genre yang diketengahkan oleh KVB pekat dengan nuansa rock era 80-an, mendengar lagu ini dengan kualiti rakaman moden di tahun 2023 ini memberikan suatu kepuasan yang berbeza. Satu perasaan yang muncul adalah seolah-olah kita kembali ke arena kegemilangan rock dulu-dulu.
Kami ambil ini sebagai cabaran yang besar dalam perjalanan muzik KVB. Kami memang berniat dari awal untuk dikenali sebagai band yang membawa bunyi melodic rock 80an dan kami akan terus perjuangkan niat itu sampai ke akhirnya.
Jika anda ingin mencari penyambung legasi kugiran rock terdahulu dengan sound yang lebih moden, King Vanta Black adalah jawapannya. Sedikit masa lagi pasti mereka akan punya fanbase yang tersendiri. Mereka juga tampak sudah bersedia untuk menggegar pentas seluruh negara.
Ikuti King Vanta Black di: