Sekali Lagi, Disihir Satwo

Satwo tampil gritty dalam single ketiga, Cahaya Malam

oleh Rahmat Mohd Did
1.2K bacaan

Setelah lebih dua tahun, Satwo akhirnya meluncur single ketiga mereka, Cahaya Malam di platform strim digital, bersekali dengan video muzik (MV) di saluran YouTube Luncai Emas Sdn Bhd.

Ketika single Gelap diterbitkan pada Jun 2021, duo Rafiz dan Mazlinna bagai sudah memahat jenama mereka dalam lapangan muzik Malaysia sebagai jelmaan John & Yoko dengan harmoni suara berhantu bak Simon & Garfunkel.

Satu keistimewaan Satwo berbanding band-band baharu lain adalah dalam setiap rilisan mereka, terdapat kecenderungan eksperimental terhadap lirik, susunan lagu dan instrumentasi, dalam masa sama turut mengekalkan identiti dan karakter yang konsisten. Untok Kita (Hanya Kita) membawa tema dark, Gelap dengan mood misteriusnya dan kini Cahaya Malam hadir dengan atmosfera gritty.

Cahaya Malam diperkenalkan kepada umum sebagai MV terlebih dahulu sebelum menjalar ke platform penstriman digital. Di bawah kendalian Raja Azrie sebagai pengarah, MV ini dirakam di tengah hiruk pikuk ibu kota Kuala Lumpur dan lorong gelap Rexx KL, menghantar signal tenang dalam kecamuk duo ini menghadapi riuh rendah kehidupan dan sikap manusia yang suka bertindak sebagai judge, jury and executioner terhadap perkara remeh yang sudah tersedia jawapan di hadapan mata. Produksi yang menggunakan aspect ratio ultrawide 21:9, pencahayaan natural dengan sedikit penekanan terhadap neon cahaya benar-benar merealisasikan nuansa kusam dan gritty, bertepatan dengan isi lirikal single ini. Bak kata Bob Dylan, “Don’t criticize what you can’t understand.”

Selain MV yang cemerlang, kekuatan utama Cahaya Malam bagi penulis adalah liriknya yang sangat puitis, tetapi dalam masa sama mengandungi maksud yang sangat straightforward.

Baris-baris seperti Hati ‘kan mudah cedera, jika tercelaka bicara/Pernahkah kita terfikir akan ditumpas oleh sihir di bibir merupakan sesuatu yang semakin kontang dalam penghasilan lagu-lagu moden, lebih-lebih lagi yang ditulis tanpa khidmat penulis lirik profesional. Penciptaan metafora dan paradoks yang menyentap sanubari tidak perlu ditulis berbelit-belit, cukup dengan kejujuran dan hamburan perasaan dari jiwa paling dalam.

Seperti opus lain ciptaan Satwo, Cahaya Malam turut menggunakan khidmat sessionists Luncai Emas sendiri yang terdiri daripada Ilham (synth pads), Masrin (bass) dan Acin Pukul (dram). Kredit juga perlu diberikan kepada Ilham sebagai produser yang begitu teliti dalam memastikan setiap not dan irama yang terhasil memberi servis yang bertepatan terhadap kehendak lagu dan langsung tidak melebih-lebih.

Ringkasnya, Satwo adalah jawapan kepada peminat lagu-lagu healing di Malaysia yang selama ini lebih terdedah kepada karya-karya dari seberang. Karakter bunyi dan lirikal yang terhasil dalam setiap lagu-lagu Satwo mempunyai keunikannya tersendiri jika sesekali kita dapat mengosongkan fikiran dengan duduk di beranda rumah menghirup secangkir kopi atau mungkin sambil mengagumi keindahan flora dan fauna.

Satwo bakal menerbitkan album perdana mereka, Dipersembunyian Oktober ini dan bagi yang ingin mengenali mereka lebih dekat, boleh baca temubual eksklusif kami bersama mereka di sini.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅