Kugiran J-Pop Rock Pulau Pinang, Saiko-Rama meneruskan rentak dengan melancarkan single terbaru, Sayonara pada 7 Ogos 2023 di semua platform strim digital.
Sebelum ini, aku pernah membuat liputan tentang mereka menerusi single Kau Beautifool dan kini hadir sekali lagi dengan produk terbaru. Ternyata momentum mereka tidak berhenti dan aku kagum dengan kesungguhan kugiran ini kerana mereka semakin lama semakin mendapat tempat di hati para peminat muzik di Kuala Lumpur. Menurut Zulfadzli (Bass) sebagai jurucakap kugiran ini:
“Alhamdulillah. Ramai pendengar kat luar sana yang mula mendengar muzik kami. Kami rasa seronok, teruja dan bersyukur sebab ada yang menerima muzik kami. Kami sering turun KL disebabkan kami inginkan cabaran bermain di luar Pulau Pinang. Dan kami dapati scene muzik terutamanya di KL lebih luas dan berikan kami peluang untuk belajar dan terokai dengan lebih dalam lagi.
Semangat sudah tentunya datang daripada minat yang mendalam dalam dunia muzik ini. Kalau diizinkan Allah, Saiko-Rama nak perform satu stage dengan ramai lagi band band berbakat sama ada di Penang, Ipoh, KL dan seluruh pelusuk tanah air. InshaAllah dengan niat yang betul, akan membantu kami untuk memperbanyakkan lagi karya Saiko-Rama.”
Dari awal lagu, aku sudah mula tertarik dengan paten lagu mereka yang kena dengan tema Jepun. Cuma kali ini mereka tampil dengan penuh gaya apabila segala instrumen kedengaran seimbang. Susunan lagu juga memainkan peranan penting dan bila dengar lagu ini berulang kali aku membayangkan jika lagu ini dimainkan dalam siri anime Ninja Hattori Kun atau Grander Musashi. Vokal bersahaja Aiman (vokalis) membuatkan aku lenggok kepala di sepanjang minit lagu. Aku merasakan tiada kelemahan di awalnya namun aku mendapati kualiti rakaman boleh ditambah baik, lagi-lagi di bahagian dram yang nampak sebu dan cadangan aku mungkin boleh letakkan drum sample agar tampak lebih blend.
Lagu ini mengisahkan perpisahan yang dialami oleh seseorang. Ia adalah pengalaman yang penuh dengan kesedihan, tetapi seiring dengan berjalannya waktu, kita harus menghadapinya juga. Namun, setiap perpisahan tidak selamanya bererti itulah pengakhiran. Terkadang, perpisahan memberikan kesempatan bagi kita untuk berhenti sejenak dan merenung tentang diri kita sendiri. Dan jika kita beruntung, kita mungkin akan bertemu lagi dan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Begitulah, tetapi pada pandangan luar, lagu ini ditulis oleh Aiman keranaa ia harus berpisah dengan kucing kesayangannya yang sekarang telah pergi selamanya.
Cuma di sini, aku tertanya berkenaan konsep album mereka yang akan datang kerana mereka kini bergerak secara agresif dan Zulfadzli memberitahu bahawa:
“Kalau hang nak tahu, elemen muzik Jepun memang acuan Saiko-rama sebenarnya sejak dari EP lagi kami dah plan nak bawakan benda macam ni. Dalam pembikinan album kali ini, Aiman, anggota saiko-rama dan Abang Zel dari Rajawali Studio memang sedang berusaha untuk hasilkan muzik rock dengan elemen jepun tu sendiri. InshaAllah, dalam album kami yang mungkin akan siap sebelum raya tahun depan akan menampilkan lebih banyak sound sound yang fresh berinspirasikan muzik j rock.”
Menurut mereka lagi, Album mungkin akan siap sebelum Hari Raya tahun depan. Buat masa ini, semua lagu telah disusun, dan menunggu masa untuk rakaman. Walaupun ahli kugiran mereka adalah mahasiswa yang berasal dari universiti yang berbeza, mereka sangat berusaha keras untuk menyelesaikan album pertama dan hingga saat ini, sekitar 40% dari lagu-lagu yang telah mereka susun telah dirakam, dan hanya beberapa lagu lagi yang tinggal.
Semoga Saiko-Rama terus maju di persada muzik tempatan. Aku mendoakan kesejahteraan mereka dan ingin menonton mereka lagi sekali di acara akan datang.
Ikuti perkembagan Saiko-Rama di: