Duo Rafiz dan Mazlinna ni memang ada magisnya yang tersendiri. Selain gabungan dua suara menjadi ‘Satwo’ yang sangat ‘ngam,’ susunan lagu, bunyi dan atmosfera yang dihasilkan mereka juga sentiasa berhantu. Sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata, ia perlu dialami sendiri setiap yang mendengarnya. Pastikan anda fokus dan cuba selami setiap nada nyanyian, turun naik emosi dan sekecil-kecil not instrumen yang dipersembahkan, pasti akhirnya ketemu ‘jiwa’ dalam karya-karya yang disampaikan mereka. Ia bagai sebuah rahmat kepada gerakan muzik moden era ini walau nuansanya sangat retro, dengan kualiti rakaman yang sangat suam (warm) bagai dirakam di atas konsol analog era 70an. Itu mungkin antara rahsia Satwo yang berjaya memikat hati penulis untuk menghayati lagu-lagu mereka berulang kali.
Tepat jam 9 malam, 11 Jun 2021, Satwo melancarkan naskah kedua mereka, Gelap bersekali dengan video muzik (MV) rasmi di saluran YouTube Luncai Emas. Ia adalah sebuah paduan audio visual yang sangat mengasyikkan.
Single pertama mereka, Untok Kita (Hanya Kita) yang diluncur pada bulan Ogos tahun lepas juga tidak kurang hebatnya. Ia mendapat ulasan yang sangat positif daripada kami. Baca di:
Romantika Jembalang Dalam Video Muzik Perdana Satwo, Untok Kita (Hanya Kita)
“Gelap adalah sebuah lagu tentang seseorang yang dihantui kisah silamnya dan ingin keluar mencari sesuatu yang lebih baik untuk dirinya. Di hujung lagu kita dapati beliau telahpun menemui cahaya di hujung terowong.”
Rafiz – Gitaris dan vokalis Satwo.
“Gelap adalah di antara lagu kegemaran saya waktu mereka menghantar demo pertama kepada saya dahulu. Kuat hati saya merasakan bahawa lagu ini bakal ‘hit’. Lagu ini adalah di antara sebab saya menawarkan diri menjadi produser album mereka.”
Ilham Pitahati – Produser album Satwo
Tentang Satwo dan Gelap
Antara ciri-ciri unik yang ada pada muzik Satwo adalah pembawakan vokal mereka di mana vokal utama Rafiz sentiasa diiringi vokal harmoni dan ad lib oleh Maz, pianis dan vokalis kedua mereka. Hasilnya adalah suatu pameran suara yang mencerminkan keakraban, kebersatuan dan harmoni dalam hubungan mereka berdua, dan perkara ini jelas sekali dalam Gelap. Di sini boleh dilihat bagaimana kehidupan mencerminkan seni, dan kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri telah mencerminkan karya mereka.
Sebagai kumpulan yang hanya mempunyai dua orang ahli utama, mereka memiliki kebebasan untuk berkolaborasi dengan pelbagai jenis musisi mengikut citarasa mereka dan kesesuaian pada lagu. Untuk Gelap, mereka telah meminjam bakat daripada beberapa musisi hebat iaitu; Aidil Azali (Iqbal M.) untuk drum, Masrin (Pitahati) untuk bass, Zahar dan Hidayat (Pitahati) untuk gitar. Terdapat juga bunyi-bunyi synthesizer yang merupakan kerjasama antara Ilham dan Maz.
Kata mereka juga, idea ini tercetus apabila Ilham memberi tugasan kepada mereka supaya menyiapkan empat lagu baharu dalam masa seminggu. Namun mereka hanya mendapat idea satu hari sebelum menghantar demo kepada Luncai Emas. Dalam keadaan tertekanlah lagu ini terlahir. Idea untuk lagu ini bermula dengan sebuah ukulele yang dimainkan Maz dalam gaya ‘koboi’ yang menjadi hook utama lagu ini, dan kini telah berkembang menjadi sesuatu yang lebih dahsyat.
Pelancaran lagu Gelap disertai dengan sebuah MV arahan Ameer Syafiq. Proses penggambaran telah berlangsung di Mossy Forest, Cameron Highlands dan Taman Melawati. Video ini adalah terbitan Luncai Emas dan boleh didapati di saluran YouTube Luncai Emas.
Gelap adalah single kedua Satwo daripada keseluruhan 10 buah lagu dalam album pertama mereka yang dijangka terbit hujung tahun ini.
Ikuti Satwo di:
Artikel berkaitan: Satwo Bakal Terbit Single Kedua – Foto-Foto Belakang Tabir