Walaupun nama mereka seperti jajan, karya-karya Biko Abidin boleh tahan sedap juga. Terbaharu, band asal Johor Bahru ini melancarkan single Xerox di saluran YouTube mereka pada 7 Jun 2021 dan ia sangat garang! Jauh berbeza dengan naskah-naskah sebelumnya yang lebih pekat nuansa shoegaze dan alternative rock.
Biko Abidin ditubuhkan pada tahun 2018 dan dibarisi oleh Hafiz Azuar (vokal/ gitar kedua), Nazri Saat (gitar utama/vokal kedua), Nazmi Jawahir (bass) dan Adin Azuar (dram). Sekitar 2018-2019, mereka telah melancarkan demo pertama, Ø (sifar) yang diagihkan secara percuma sebanyak 200 naskah kepada rakan-rakan dan peminat.
Seperti yang kita sedia maklum, pandemik yang melanda dunia meranapkan impian band-band baharu untuk pergi lebih jauh mempromosi karya-karya mereka. Biko Abidin juga tidak terkecuali. Beberapa ahli Biko Abidin kini berada di luar Johor menyebabkan perjalanan band terganggu dan mereka mengambil keputusan untuk melepas geram dengan menghasilkan Xerox secara jarak jauh. Hasilnya? Not bad!
Menurut mereka:
Pembikinan lagu Xerox bermula dengan komposisi yang disediakan oleh frontman Hafiz Azuar melalui trek demo yang dikongsikan kepada ahli yang lain. Selepas setahun tanpa apa-apa perkembangan, Hafiz berkeputusan memohon bantuan dari drummer Adin Azuar, merangkap adiknya untuk menjadi tangannya untuk menyiapkan komposisi lagu ini. Hafiz menjalankan rakaman vokal di Tonehouse Studio, Singapura kerana beliau terkandas di Singapura di sepanjang tempoh pandemik ini. Selepas itu, segala trek dihantar semula kepada Adin untuk proses pengadunan dan mastering.
Lagu Xerox berkisar tentang personaliti segelintir manusia yang bersifat parasitik, yang mana menyerap kemahiran atau keistimewaan orang lain dalam diam atau secara halus, dan seterusnya membuang temannya itu setelah dia merasakan tiada apa lagi yang perlu diserapkan daripadanya.
Lagu ini meletakkan pendengar di tempat “first person view”, yang mana lagu ini cuba untuk menyedarkan diri pendengar bahawa dirinya telah dihinggap pihak yang parasitik, dan memujuknya untuk keluar dari kesengsaraan itu.
Trek ini merupakan trek debut Biko Abidin memainkan bunyian yang lebih keras dan agresif dari rilisan sebelum ini, yang mana terdahulunya Biko Abidin lebih memainkan bunyian shoegaze dan alternatif rock.
Elemen utama yang membuatkan lagu ini terasa sangat ‘selesa’ di telinga adalah riff gitarnya yang sangat mantap. Bunyian nu metal yang sangat pekat dan memikat. Progresi lagu juga dihasilkan dengan sangat baik memberikan dinamik yang cemerlang di semua bahagian instrumen. Dari awal sehingga akhir, kita seperti dibawa mengembara menyelami kedalaman emosi dan retrospeksi sang pelantun suara yang terpaksa berdepan dengan sang parasit yang merosakkan. Syabas!
Transisi sebegini daripada band-band tempatan adalah sangat dialu-alukan. Ia adalah satu testamen bahawa pemuzik-pemuzik era ini semakin matang dan tidak lagi takut keluar daripada zon selesa dan sentiasa mencuba benda baharu dan mencabar diri dengan eksperimen-eksperimen berani. Kami menanti naskah seterusnya daripada kalian!
Ikuti Biko Abidin di: