Solidariti Bukan Jenayah! : Tanggungjawab Sebuah Band

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 332 bacaan

Oleh: Zainal RR

Photo : Nourul ,Hakim, Lyd


Pada hemat saya, Kesatuan Sekerja Malaysia semakin lucu dan tidak ketahuan perjuangan mereka melainkan sekadar menjadi koperasi untuk ahlinya membuat pinjaman peribadi dan paling unggul sangat pun sekadar memperjuangkan nasib perut mereka sendiri. Mereka (kesatuan-kesatuan ini) mengambil langkah selamat yakni tidak menyebelahi mana-mana solidariti perikemanusiaan yang lain. ‘Bukan hal kita, kita jangan masuk campur.’

Memetik laporan Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad yang berada bersama dalam pelayaran Global Sumud Flotilla 16 September 2025 lalu, beliau menyatakan,

“Pada 22 September 2025, konvoi Global Sumud Nusantara dijangka berada 3 atau 4 hari mendekati pantai Ghazzah. Kesatuan Sekerja Pelabuhan Genoa, Itali (USB), dengan 60 ribu  keahlian akan mengadakan demontrasi menyatakan sokongan pada Ghazzah. Sokongan ini juga khusus pada konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dengan misi memecah kepungan kemanusiaan ke Ghazzah. Saya diminta wakil USB untuk menyeru semua kesatuan sekerja, NGO, pertubuhan atau individu di Malaysia untuk turut menyatakan sokongan. Caranya dengan memuat naik sokongan di media baharu, media elektronik, akhbar atau apa juga cara yang relevan. Moga anda semua membantu usaha USB Itali dan sekutu kesatuan sekerja mereka di Eropah. Moga Allah berkati kita semua!”

Disambut dingin oleh kesatuan-kesatuan di negara ini.

Orang Kuantan ini diamnya banyak di pesisir pantai. Dengan semangat ‘Orang Ke Laut,’ apatah lagi yang tinggalnya dalam lingkungan bumi Nusantara, dua entiti terkenal dalam kalangan penduduk tempatan; Swerved dan The Waltz mengajak orang ramai untuk bersolidariti buat Global Sumud Flotilla dan Unione Sindicale Di Base Genoa menerusi persembahan mereka pada 21 September 2025 lalu dalam sebuah festival muzik. Menurut vokalis kumpulan ini saudara Ray Clownz, beliau menyatakan,

“Melawan itu bukan muzik yang didengari, tetapi muzik yang dimainkan. Dari jalinan muzik ciptaan kami, kami faham perasaan kaum marjinal. Kami mahu crowd kami bersama-sama menunjukkan solidariti semasa kami mempersembahkan lagu-lagu bawaan kami!”

Bagi gitaris utama kumpulan Swerved, Saudara Remy,

“Kami biasa dah rasa tersisih ni, dah main sampai luar negara pun orang kampung sendiri masukkan kami dalam slot pocket-pocket. Nak jadi opening band besar pun susah. Manalah tahu rezeki kami band lokal macam kami bila jadi opening ejen-ejen dan band besar nampak keupayaan kami. Betul-betul kami rasa tersisih macam saudara kita di Ghazzah yang orang tak berapa nak peduli.”

Dengan iltizam yang tinggi, kumpulan ini berpakat dengan kumpulan The Waltz yang sejak ditubuhkan lagi memang anggota mereka tegar menyokong pembebasan P*lestin menjadi sebuah negara merdeka. Maka sebelum hari kejadian, dua kumpulan ini menyebarluas kesedaran awal kepada pengikut dan peminat mereka untuk mengibarkan bendera P*lestin sepanjang mereka membuat persembahan. Kempen ini disambut baik oleh penonton yang hadir di mana bendera-bendera negara yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam itu bertebaran dikibarkan penonton sambal sahutan ‘Free G*za,Free P*lestine’ dilaungkan.

Ini satu fenomena yang penulis anggap sihat bagi sebuah kumpulan muzik berbanding dengan menjadi pemuzik yang mementingkan diri yang tak ketahuan objektif hasilan karya mereka. Menurut ahli-ahli kumpulan The Waltz,

“Daripada kami buat lagu perihal stress, kelaparan perut sendiri mahupun masalah hidup kami, lebih baik kami bikin lagu dan memberi persembahan yang lebih empati terhadap masalah global yang melanda. Kami tak mahu jadi pengkarya yang mementingkan diri sendiri!”

Dengan harapan yang tinggi pada hari itu, mereka memanjatkan doa semoga kejayaan dibawa angin bayu Laut China Selatan meniup layar Bahtera Sumud Flotilla ke tanah Ghazzah. Syabas kepada dua band kelahiran Kuantan ini kerana berjaya meniupkan semangat juang buat peminat-peminat mereka dan membuktikan bahawa solidariti bukan satu jenayah!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅