5 Soalan Bersama: 𝗞𝗠𝗬 𝗞𝗠𝗢

oleh Mohd Aqil Aiman
2.4K bacaan

Gambar diambil dari: IG @kmy__kmo

Lukmanul Hakim atau lebih dikenali sebagai Kmy Kmo telah berkecimpung dalam dunia muzik sebagai seorang penyanyi rakaman, komposer dan penulis lirik sejak tahun 2003 lagi.

Anak kelahiran Pahang Darul Makmur ini juga merupakan bekas ahli kumpulan rap Nukilan yang turut dianggotai oleh Zizi Kirana dan Afif Tirimizie suatu ketika dahulu. Mendapat didikan daripada seorang legenda Hip Hop iaitu Malique Ibrahim menjadikan karya yang dicipta oleh Kmy Kmo juga ada magis yang tersendiri. Beliau juga telah berjaya menempa nama ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 baru-baru ini dengan lagu 7 Nasihat yang dipersembahkan oleh Shiha Zikir, beliau dan Luca Sickta.

Music Addicts Malaysia (MAMY) berpeluang mengadakan satu sesi temubual eksklusif bersama Kmy Kmo secara maya. Baca selanjutnya di bawah.


MAMY : Kenapa Kmy Kmo memilih menggunakan bahasa Melayu asli/ klasik dalam cara penulisan dan penyampaian rap? Dari mana inspirasi tu datang?

KMY KMO : Sejujurnya saya mempunyai impian yang tak pernah habis. Ibarat impian saya ni sentiasa tumbuh baru bila yang lama dah berjaya dicapai. Saya memilih bahasa melayu klasik/ asli di dalam penulisan lirik rap adalah bertujuan untuk majoriti pendengar muzik tahu yang perkataan-perkataan Melayu lama juga mampu atau boleh digunakan didalam citarasa muzik sekarang, dan bagi saya pentas mainstream adalah ruang terbesar untuk saya kongsikan perkataan-perkataan ini kepada generasi-generasi baru dan akan datang.

Saya pun ada lirik “Rojak” (Melayu + English), lirik bahasa-bahasa pasar pun saya ada. Bagi saya yang penting adalah, di mana kita nak letakkan setiap lagu itu. Ada yang buat untuk dikenang atas nilai-nilai murni, ada yang buat untuk berseronok, ada yang buat untuk fesyen dan gaya hidup, ada yang buat untuk protes, ada yang buat untuk suka-suka, tapi setiap lagu ini tetap datangkan satu hasil iaitu “royalti” dan sambutan dari setiap kelompok yang difokuskan.

MAMY : Daripada pandangan kasar saya, Abang merupakan antara suara-suara dalam scene yang mempunyai pengaruh besar. Apakah Abang punya pelan untuk merevolusi scene Hip Hop tanah air kita pada masa akan datang?

KMY KMO : Bagi saya kuasa untuk merevolusi setiap scene itu tidak bergantung pada seseorang yang dilantik, kerana scene itu sendiri adalah bebas untuk semua orang. Cuma harapan saya tu adalah sikit, teringin nak tengok muzik hip hop tanah air kita ni ada warna dan kekuatannya tersendiri supaya orang-orang luar rasa terpegun dengan keunikan yang kita bawa dari negara kita. Pasal rapper-rapper dan produser-produser baru tak disangkal lagi, memang sangat ramai yang berbakat, Top 30 pun tak cukup untuk disenaraikan.

MAMY : Abang merupakan salah seorang anak murid Malique juga kan? Adakah ada sebarang projek bersama Mr. General yang kita belum tahu?

KMY KMO : Saya mula sign contract sebagai artis/ penulis lirik/ komposer di Qarma Musiq pada tahun 2015 dan tamat kontrak pada tahun 2016. Projek dengan Malique Ibrahim mungkin suatu hari nanti. Bergantung pada pihak Qarma Musiq.

MAMY : Segelintir peminat Abang mengetahui bahawa Agenda, Sahibul Hikayat, Balaklava juga merupakan nama pena untuk Kmy Kmo. Apakah cerita di sebalik nama-nama tersebut?

KMY KMO : Setiap penulis akan ada sisi lain dalam penghasilan karya mereka yang kita panggil “Alter Ego”. Watak-watak ini pendengar sendiri akan tahu apa perbezaan dari segi penyampaian, karakter, dan penulisan. Saya tak boleh cerita sebab panjang sangat. Haha!

MAMY : Apakah nasihat yang Abang Kmy Kmo ingin sampaikan kepada generasi muda yang ingin bergiat aktif dalam scene Hip Hop masa kini?

KMY KMO : Saya sendiri nasihat benda yang sama pada diri saya sendiri. Sampai ke harini masih saya nasihatkan diri saya supaya sentiasa beringat “Kenapa mulakan semua ni?”, “Kenapa mulakan semua ni dulu kalau nak berhenti separuh jalan?”, “Kenapa nak berikan tekanan pada diri sendiri, sedangkan diri sendiri adalah penggerak utama?”, “Kenapa hilangkan keyakinan diri sendiri, sedangkan setiap yang mula adalah dari kosong?”.

Jadi teruskan berusaha. Ingatlah yang setiap usaha itu jangan sesekali dikerah bersalutkan “harapan”, berusahalah dengan bersungguh-sungguh tanpa mempertikai diri sendiri atau orang lain. Kejayaan itu “Rahsia”, dan “Rahsia” ini akan datang pada waktu yang sangat tepat. Mulut, Hati, dan Otak, kena positif selalu kecuali swabtest.

Photo credit: KMY KMO IG

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅