Kugiran yang pernah mewarnai industri muzik tanah air dengan trek popular Tak Bisa Memilihmu dan Tanpa, 6ixth Sense kini kembali menemui peminat dengan pelancaran video muzik (MV) mereka yang diberi judul Tremendous. Tremendous telah dilancarkan pada tanggal 17 Mac 2022 dengan jangka masa selama 4 minit di saluran YouTube rasmi mereka 6ixthsenseTV.
Setelah melancarkan single Sebait Hati pada tahun 2019 dan sebuah album berjudul 7 Belas pada tahun 2020, 6ixth Sense akhirnya memilih waktu yang tepat untuk keluar daripada pertapaan. Mereka turut menyatakan bahawa mereka sengaja memilih penggunaan bahasa Inggeris sebagai tajuk sebagai satu percubaan bagi mengekalkan kehadiran 6ixth Sense dari segi nama, produk dan karya.
Tremendous menjadi signifikan untuk keseluruhan lagu ini. Mereka mengemudi hala tuju untaian balada dan rock ‘n’ roll yang begitu sinonim dengan 6ixthsense. Menerusi Tremendous ia mengangkat kisah persahabatan yang begitu rapat sehingga sanggup berkorban ketika sahabatnya dalam kesusahan dan selalu ada ketika memerlukan bantuan.
“Tremendous pun berhubung kait dengan 6ixthsense dan persahabatan kami selama 17 tahun dengan segala liku-liku juga naik turun yang 6ixthsense lalui. Sebab inilah yang membuat kami melancarkan lagu bertajuk Tremendous ini untuk menjadikan lagu ini sebagai cerminan dari pada persahabatan kami selama ini dan juga menjadi lagu penyemangat bagi semua pencinta musik dan kesetiaan deriaku,” – Adi Priyo
Dengarkan Tremendous di saluran YouTube rasmi 6ixth Sense, dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook dan Instagram mereka untuk berita terkini.