Kugiran punk rock Trophy Knives baru sahaja melancarkan sebuah video muzik (MV) single terbaru yang berjudul Smokescreen pada tanggal 18 Mac 2022 di saluran YouTube rasmi mereka dengan jangka masa selama 3 minit 14 saat.
Dalam cubaan melepasi sempadan kreatif yang membatasi mereka semasa pandemik tanpa henti, Trophy Knives telah mencipta sebuah karya yang boleh dikatakan salah satu usaha mereka yang paling menarik, pelbagai dan rumit di dalam Smokescreen. Smokescreen merupakan single rasmi keenam daripada album kedua Trophy Knives, Look the Other Way yang dijadualkan keluar pada September 2022.
Trophy Knives merupakan sebuah kugiran punk 3-piece yang dibarisi Vinesh Muniandy (vokal), Sani Khalid (gitar utama), dan Ryan Lee Bhaskaran (dram). Mereka bertiga telah sepakat untuk berkerjasama dengan Nas, vokalis kugiran ska-punk legenda Plague of Happiness untuk mempelbagaikan cara menyalurkan kreativiti diri dan ketidakpuasan hati terhadap autoriti dalam Smokescreen.
Menurut Vinesh, “Smokescreen merupakan sebuah lagu tentang bagaimana masyarakat telah menormalisasikan penindasan dan pemanipulasian dalam kehidupan seharian kita. Kita seharusnya menyingkirkan kepalsuan tersebut dan bangkit melawan.
Generasi muda khususnya harus dapat menyuarakan pendapat mereka tentang perkara-perkara penting. Ianya bukanlah sebuah lagu yang menggembirakan tetapi sekali lagi ini bukanlah satu masa yang menggembirakan.

Nas (Plague of Happiness)
Vinesh juga menambah, Plague Of Happiness sentiasa menjadi kugiran punk tempatan kegemaran mereka dan melalaui kerjasama dengan Nas, mereka merasakan bahawa impian peribadi mereka telah tercapai.
Dengarkan Smokescreen di saluran YouTube rasmi Trophy knives dan ikuti mereka di laman media rasmi Facebook dan Instagram untuk perkembangan terkini.