Atas Angin Independent Festival bersedia untuk melakar sejarah peribadi sebagai sebuah festival muzik alternatif pertama dan terbesar yang pernah diadakan mereka pada 6 Ogos 2022, bertempat di Bandar Gamuda Cove, Banting, Selangor. Atas Angin komited membawa pembaharuan, dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab bagi mengangkat muzik alternatif tempatan ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Festival yang menyasarkan ribuan pengunjung ini juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada barisan 30 kumpulan artis alternatif tempatan yang terkemuka antaranya Da Vagabonds, Iqbal. M, Sekumpulan Orang Gila (SOG), 6xithsense dan ramai lagi. Konsert selama 15 jam tanpa henti yang akan bermula seawal jam 9 pagi di atas dua pentas berbeza pada waktu yang serentak seperti ini adalah satu fenomena yang pastinya dirindukan pencinta muzik tempatan setelah lama tergendala akibat pandemik.
Pengarah Projek Atas Angin Indiependent Festival, Arif Imran atau lebih dikenali sebagai Bam menjelaskan kepentingan untuk festival ini dilaksanakan dan dijayakan oleh semua pihak:\
“Kami dari barisan penganjur yang bertanggungjawab sebagai “tulang belakang” bagi festival ini berkerja sepenuh jiwa raga kami untuk menjayakannya kerana kami yakin festival ini akan memberi satu impak yang besar kepada artis-artis alternatif tempatan dengan menyediakan mereka platform untuk mempromosikan seni dan karya masing – masing.”
Salammusik, salah satu kumpulan yang akan membuat persembahan di Atas Angin Indiependent Festival mengatakan usaha yang dilakukan oleh penganjur seharusnya dibanggakan.
“Ini adalah apa yang ditunggu-tunggu oleh peminat muzik tempatan. Selepas dua tahun dipenjara pandemik, dengan sokongan dan dokongan dari rakan artis indie tempatan yang lain, digandingkan dengan sokongan dari peminat, kami berharap kita boleh gerakkan kembalikan momentum yang terganggu sebelum ini dan terus bergerak ke hadapan.”
Jualan tiket kini di fasa terakhir selepas hampir semua tiket terjual sebaik sahaja pengumunan mengenai festival ini dihebahkan. Untuk yang masih belum mendapatkan tiket boleh membeli tiket di laman sesawang www.atasangin.com di mana harga tiket hanya serendah RM 100 bagi ahli dan RM 130 bagi yang bukan ahli.