Sub-budaya Skinhead dan muzik Oi! pernah melalui zaman kegemilangan di penghujung era 90an hingga pertengahan 2000an.
Fesyen working class, attitude anti-establishment serta lagu-lagu rebel dan catchy gerakan ini menjadi fenomena di seluruh negara, jauh menerobos ke segenap ruang sehingga yang tidak membawa falsafah Skinhead juga turut singalong bersama setiap kali antem-antem Oi! berkumandang di gig dan radio kaset.
Artikel berkaitan: Malaysian Skinhead: Where Have All The Bootboys Gone?
Setelah beberapa ketika, sub-budaya yang dahulunya digeruni ini semakin hilang bisanya. Band-band pelapis semakin kurang, mat dan minah Skinhead juga semakin sukar ditemui di kota raya.
Walau bagaimanapun, Skinhead dan Oi! tidak pernah mati. Band-band pelopor masih aktif bermain gig di sana sini. Setiap tahun, ada sahaja band-band pelapis mengeluarkan material.
Baru-baru ini, penulis mendapat perkhabaran tergempar bahawa dua band legenda Oi! Malaysia, The Suspects AKA dan Roots N Boots bakal membuat kemunculan semula di Street Music Festival 2023 (SMF23) yang bakal berlangsung di Panggung Asia pada 28 Oktober nanti.
Apa yang lebih menarik adalah mereka bukan sahaja akan membuat persembahan bersama, malah turut merancang untuk merakam album Double Trouble of Oi!. Ini merupakan kali pertama band Oi!, malah mungkin band independent Malaysia melakukan perkara sebegini.
Menurut vokalis The Suspects AKA, Rizal G, “Album ini bukan sekadar split lagu-lagu daripada dua buah band, tetapi sebuah kolaborasi antara kami yang akan merakam beberapa lagu secara duet dan stail masing-masing, lebih kurang seperti apa yang pernah dilakukan oleh Search dan Wings.”
Ditanya adakah album ini berbeza dengan album Stand Your Ground yang telah tertangguh penerbitannya sejak 2021, Rizal memberitahu keduanya adalah berbeza dan Stand Your Ground bakal keluar dahulu sebelum album kolaborasi bersama Roots N Boots.
“Album Stand Your Ground masih tidak dapat dikeluarkan kerana pandemik Covid-19 sebelum ini dan kami masih mencari penaja untuk proses akhir rakaman dan pencetakan. Bagaimanapun, album yang mengandungi tujuh buah lagu ini akan keluar dahulu tahun ini juga, manakala album kolaborasi dengan Roots N Boots pula dijangka memulakan proses rakaman awal tahun hadapan.
Menariknya, album kali ni kita special sikit. Proses mastering dibuat di Amerika Syarikat dan kami sedang menunggu hasil akhirnya siap sepenuhnya.”
Tambahnya, pelancaran album Stand Your Ground amat bermakna bagi mereka yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini sejak ditubuhkan pada 1998.
“Untuk gig Street Music Festival nanti, kami akan memperkenalkan beberapa buah lagu baharu kepada peminat sebelum album fizikal keluar tidak lama lagi. Kepada yang merindukan kami dan nak dengarkan material terbaharu The Suspects AKA, pastikan korang hadir memeriahkan gig ini nanti,” katanya.
Artikel berkaitan: 5 Album Oi! Terbaik Malaysia
Menurutnya, ini adalah permulaan penting bagi jenama SMF yang baru bermula. Jika mendapat sambutan menggalakkan, pastinya ia akan memberi semangat kepada penganjur untuk mengadakan festival lebih besar pada tahun berikutnya.
“SMF ni berpotensi menggantikan Oi! Fest yang dah lama tak ada. Selain dapat tengok gabungan band-band Oi! dan Ska baru dan lama, peminat juga akan dapat saksikan kelainan dari segi performance yang unik antara The Suspects AKA dan Roots N Boots nanti. Selain tu, acara Skins & Scoots juga adalah sesuatu yang menarik untuk disertai.”
Vokalis Roots N Boots, Achmed X juga turut meluahkan keterujaannya untuk bepentas kembali sejak kali terakhir berpanggung di Rock the City Fest pada tahun 2020.
“Agak lama juga Roots N Boots tak muncul di gig/konsert. Terakhir rasanya di Rock The City 2020. Mungkin ada kejutan untuk peminat di Street Music Festival 2023 nanti?
Tentunya kejutan paling jelas adalah keputihan rambut kami dan saiz badan yang berbeza ketimbang 3 tahun lepas. Diharap pihak penganjur dapat sediakan lampu pentas yang sesuai untuk aksi kami nanti, insya-Allah! 😂”
Katanya, mungkin antara kejutan yang akan dipersembahkan kepada peminat adalah untuk membawakan lagu-lagu baharu, selain merealisasikan usahasama antara RNB X T.S.A dalam bentuk persembahan di atas pentas secara live.
Sementara itu, wakil penganjur, AzamRhadio berkata, tujuan SMF23 diadakan adalah untuk memeriahkan acara muzik Malaysia khususnya dan komuniti street music khususnya.
“Asalnya memang nak buat besar macam Oi! Fest, tetapi kerana kekangan kewangan, saya ambil keputusan untuk buat jenama baharu yang lebih marhaen, tetapi tetap dengan falasah yang sama iaitu menggabungkan nama-nama lama dan baharu dalam scene.
Banyak yang telah kami rancang dan peminat kena datang sendiri ke acara untuk saksikan apakah kejutan-kejutan yang akan dilaksanakan nanti.”
Beliau juga berharap SMF23 sukses dan mendapat sokongan padu sehingga mampu “membudayakan sub-budaya.”
“Bila meriah, pasti akan ada kesinambungan. Misi kami adalah nak jadikan SMF23 sebagai acara tahunan dan mungkin siri jelajah untuk mempromosikan Double Trouble The Suspects AKA dan Roots N Boots.
Peminat sendiri yang akan menentukan adakah pelan-pelan ini berjaya atau tidak. Kami cuma mengharapkan ekosistem yang sihat dan melihat setiap yang terlibat berpuas hati.”
Jualan tiket kini bergerak pantas. Terdapat tujuh jenis tiket untuk dipilih berdasarkan kesesuaian anda. Dapatkan segera di Hip Hub sebelum kehabisan!
SMF23 juga akan disertai band-band lama dan baharu lain termasuk Skinrovers, The Offside, Hibiscus, The Section, Skudap Skudip, Armpunk Sindicate, ABC Youth, The Murphy dan Idle Hands.
Korang juga boleh dapatkan merchandise SMF di sini.
Ikuti juga temubual bersama Roots N Boots dan The Suspects AKA kelolaan Aggro Studio untuk mengetahui dengan lebih jelas tentang pelan mereka untuk SMF23 dan album terbaharu: