Tahukah anda, adalah mustahil bagi seorang skinhead untuk tidak berasa bangga dan nostalgik setiap kali mendengar lagu-lagu perjuangan dan brotherhood bernuansa Eastern Oi!. Reputasi band-band Oi! Malaysia pada penghujung era 90an dan awal 2000an bukan calang-calang. Jika pada waktu tersebut kita punya promoter yang bagus, setidak-tidaknya dua atau tiga band Malaysia telah berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa hari ini.
Fenomena yang melanda negara ketika itu penulis ibaratkan bagai Godzilla menyerang nusantara! Dari aspek subbbudaya dan muzikal, ia diakui amat unik dan sangat sukar untuk diulang sehingga kini walau beribu band baharu tumbuh bak cendawan. Ia hanya berlaku di Malaysia, tidak di negara-negara Asia Tenggara yang lain di mana peminat-peminatnya menyokong penuh material-material band tempatan. Kalau tanya majoriti mereka, pasti mereka lebih kenal A.C.A.B dan The Official berbanding The 4Skins, Cockney Rejects dan The Business. Sebabnya? Identiti dan sound Eastern Oi! yang lebih melodik berbanding band-band luar negara yang lebih popular.
Malangnya, kemeriahan tersebut kian kabur akibat kurangnya band-band baharu yang mampu meneruskan legasi dan menghasilkan antem-antem berkualiti seperti band-band perintis sebelumnya selain “gelombang indie” yang sangat menular pada penghujung era 2000an membuatkan anak-anak muda memilih muzik yang lebih trendy ketika itu.
Setelah lebih 20 tahun, nostalgia tersebut terus gemilang dengan kembalinya band-band lama dan tidak kurang juga saki baki band-band baharu yang masih setia dan percaya dengan perjuangan murni ini.
Untuk menghasilkan senarai lima terbaik ini amat mencabar sebenarnya. A.C.A.B sahaja dengan mudah boleh mengisi 3 posisi teratas. Oleh sebab itu, penulis hanya memilih satu album daripada setiap band.
Adakah anda bersetuju dengan senarai ini? Kongsikan juga pengalaman dan impak album-album ini terhadap zaman remaja masing-masing di ruangan komen.
5. Saturday Heroes – City Boy (1998)
Mono dan Morons, dua elemen penting yang menjadikan band ini sebagai muka hadapan gerakan skinhead di Bumi Kenyalang serta turut popular di semenanjung Malaysia. Album City Boy juga merupakan antara album Oi! terawal yang diterbitkan di Malaysia ketika itu dan menjadi rujukan banyak anak muda untuk menyarung but Dr. Martens dan menghasilkan irama-irama berontak. Walaupun mutu rakamannya agak raw, ia sudah cukup meninggalkan impak besar kepada skena dan dikenang sehingga hari ini.
4. The Suspects AKA – Kami Yang Disyaki (2000)
“Kasut but, braces berambut pendek // Apa yang dikatakan kami tak peduli,” baris lirik yang sangat mencengkam, seolah-olah melancar perang terhadap ketidakadilan sosial dan golongan prejudis yang memandang rendah terhadap anak-anak muda berimej skinhead ketika itu. Sampai sekarang pun mesej dalam lagu Kami Yang Disyaki ini masih relevan. Tidak cukup dengan itu, keseluruhan album turut mengandungi trek-trek malar segar lain seperti Kuala Lumpur, Together Forever dan Running Thru The Night yang masih menjadi antem sehingga kini.
Kualiti rakaman album ini sangat membanggakan dan melodi-melodi yang dihasilkan juga sangat bermutu membuatkan ia ternobat sebagai salah satu album Oi! tempatan terbaik yang pernah dihasilkan. Oh ya, dengar cerita The Suspects AKA juga bakal mengeluarkan album berjudul Stand Your Ground dalam masa terdekat. Sama-samalah kita tunggu.
3. Roots n Boots – Young, Loud and Proud (2003)
Ini adalah salah satu band yang sangat megah di zamannya dan masih aktif hingga ke hari ini. Nama mereka sangat masyhur sehingga ke luar negara dek penangan frontman Sood yang berkarakter dan antem Made in Malaysia yang sangat ikonik.
Album pertama mereka, Working Class Heroes (2001) pernah dicetak dalam format piring hitam dan CD oleh label Austria, DSS Records namun album Young, Loud and Proud (2003) yang berjaya memahat nama Roots n Boots sebagai Top 3 band Oi! Malaysia dengan versi rakaman semula Made in Malaysia yang lebih mantap, selain lagu-lagu bertenaga lain seperti Alternative, Aggro-Culture, Trouble on Our Street, Worka-Hooligunz dan Those Were the Days.
2. The Official – Remember Yesterday (1998)
Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa The Official adalah band Oi! nombor dua negara. Aura Magoo dan gerakan JB Riot sangat besar dan digeruni di zamannya. EP JB Riot Skins melonjakkan nama The Official namun album sulung mereka, Remember Yesterday (1998) kekal sebagai antara magnum opus muzikal terulung Malaysia dengan koleksi lagu-lagu patriotik versi Oi! yang sangat indah dan mencengkam seperti Proud to be Malaysian, My Land, Remember Yesterday, Hibiscus, Remember Our Root dan banyak lagi.
Lama tak dengar cerita Magoo. Rasanya ramai yang merindui suara garau ini untuk membuat kemunculan semula.
1. A.C.A.B – Skinhead 4 Life (2001)
Hanya dengan mengulang-ulang tiga kord dalam Skinhead for Life, A.C.A.B telah berjaya memahat nama mereka bukan sahaja sebagai perintis, tetapi band oi! terbaik yang pernah wujud di bumi Malaysia. Antem ini juga terbang jauh ke serata dunia dan diulang sadur berkali-kali, sesuatu yang amat membanggakan walaupun status mereka pada ketika hanyalah band underground yang dipandang rendah arus perdana.
Tanyalah sesiapa pun budak kampung yang baru belajar memetik gitar ketika itu, pasti lagu-lagu A.C.A.B jadi pilihan kerana ia mudah, sedap dan membangkit semangat rebel yang sangat utuh. Dari budak tahfiz sehingga mat rempit, semuanya kenal A.C.A.B dan Album Skinhead 4 Life adalah kemuncak kegemilangan mereka; sebuah magnum opus yang tidak terlawan sehingga kini.
Dilahirkan tepat di tengah kemelut politik dan ketidakadilan sosial yang membelenggu anak muda ketika itu, setiap bait lirik dalam album ini bagai wadah yang bercakap bagi pihak mereka waima setiap not dan melodi dari intro ke solo setiap lagu masih mampu dihafal dan kekal relevan sehingga kini. Itu belum cerita berapa ramai budak sekolah yang belajar bahasa Inggeris hanya dengan menghafal lirik-lirik A.C.A.B! Produk yang mendunia!
Jika di album Eastern Oi! (1999) A.C.A.B lebih straight forward dengan lagu-lagu Oi! & Roll, album kedua ini adalah testamen betapa pengaruh mereka kepada band-band rock legenda tempatan seperti SYJ dan Lefthanded mula meresap ke dalam penulisan lagu dengan sound yang lebih berat dan melodik berbanding seelumnya. Kekuatan vokal Megat pula sangat menggerunkan melalui trek-trek seperti Skinhead for Life, Freedom & Justice, We Are A.C.A.B, Racial hatred II dan You Lie, seperti menempik terus ke muka sang penguasa yang menyusahkan hidup dan menyekat kebebasan mereka. Edy J, Anas, Hardy Sham dan Zul juga turut memberikan persembahan terbaik masing-masing.
Album Skinhead 4 Life adalah testimoni bahawa tidak kira apa pun mesej di sebalik lagu, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah melodi yang kuat, penulisan lirik yang tulus serta keaslian dalam berkarya. Jika pakej ini lengkap, nescaya ia akan sampai sendiri ke lubuk sanubari setiap yang mendengarnya. Setuju atau tidak, Megat telah membuktikan bahawa beliau adalah komposer terbaik yang lahir dari bawah tanah namun tidak diberikan keadilan dan perhatian sewajarnya oleh pendengar arus perdana.