
Anak-anak Skinhead Kuala Lumpur. (Kredit: Vice)
Penulis bukanlah seorang Skinhead, namun sebagai seorang peminat muzik, seni dan budaya, penulis merasakan era kegemilangan subbudaya Skinhead di Malaysia adalah era paling meriah dan terbaik kita pernah ada.
Walaupun usia gerakan Skinhead lokal tidak lama, bermula pada awal 90an dan mula pudar sekitar penghujung dekad 2000, namun ia tidak bermakna Skinhead telah mati. Sehingga sekarang kita masih boleh melihat remaja dan juga dewasa dari golongan ‘kelas pekerja’ dengan fesyen kepala botak, pakaian kemas dan but Dr. Martens di ibu kota.
Di zaman kegemilangannya, perkataan knowledge dan poser memang sangat popular. Ini kerana di waktu itu majoriti peminat muzik tidak mempunyai akses internet dan hanya bergantung kepada zine, majalah muzik dan orang-orang lama di dalam scene untuk mendapatkan info. Jadi, siapa yang mempunyai lebih pengetahuan, lebih-lebih lagi yang sudah membaca dan menghafal kitab Skinhead Spirit of ’69, merasakan diri mereka sudah mencapai makam tertinggi dan elit.

Buku Spirit of ’69: A Skinhead Bible yang ditulis oleh George Marshall.
Tetapi apa yang mahu penulis tekankan di sini adalah, sebab utama subbudaya Skinhead di Malaysia jadi begitu meriah adalah kerana penggerak-penggeraknya dalam kalangan pemuzik-pemuzik Oi! begitu hebat dan pengaruh mereka lebih besar dari kehidupan. Orang putih kata Larger than life.
Lihat sahaja bagaimana besarnya pengaruh Megat (A.C.A.B) dan Magoo (The Official) ketika itu. Skinhead di zaman itu seperti sebuah kultus (cult) dan kelibatnya dirasai serta digeruni di seluruh Malaysia. Bila berkumpul, bilangan mereka sangat ramai.
Sehingga sekarang kita boleh lihat, bila ada sahaja keramaian Skinhead yang melibatkan reunion band-band besar atau acara-acara lain, mereka ini sentiasa ada. Tidak kira tua atau muda, semuanya masih membawa semangat yang sama.
Kemeriahan subbudaya Skinhead negara di era itu turut menarik perhatian media-media luar untuk datang ke Malaysia. Sebagai contoh, VICE pernah membuat liputan tentang Skinhead Malaysia pada tahun 2004.
Pautan artikel: All Malaysian Skins
A.C.A.B, The Official, Roots ‘N’ Boots, The Suspects aka, The Mister adalah sebahagian nama besar dan antara pelopor band Oi! di Malaysia dan populariti mereka sehingga ke luar negara walaupun tanpa sebarang akses internet ketika itu.

A.C.A.B menggegar Malaysia tahun ini dengan mengeluarkan mini-album Demonstration ’95 Revisited dan menganjurkan Online Gig 1312 yang ditonton 1,300 orang.
Ke Mana Hilangnya Spirit of ’69 di Malaysia?
Pada pendapat penulis, apa yang membuatkan subbudaya Skinhead semakin suram di Malaysia adalah kurangnya band-band pelapis yang mampu menyaingi kehebatan band-band gergasi tadi.
Dahulu, walaupun kalian bukan Skinhead, lagu-lagu seperti Fight for Your Right, Streets of Uptown, Kami yang Disyaki dan JB Riot memang tidak asing di telinga dan menjadi siulan bahkan lagu-lagu inilah yang menjadi lagu terawal dipelajari di gitar Kapok di ceruk-ceruk kampung seluruh Malaysia.
Apabila band-band pelopor ini semakin kurang aktif, tidak ada satu band Oi! pun yang mampu menyambung legasi mereka. Jika ada pun, hanya sekejap sahaja bertahan kerana tidak mempunyai kualiti untuk menghasilkan antem sehebat Skinhead 4 Life.
ABC Youth antara band baharu yang masih setia memperjuangkan irama berontak dan brotherhood yang kian pupus ini dan album pertama mereka, On the Streets (2019) perlu diberi perhatian kerana usaha unit ini menggabungkan genre Oi!/ Ska/ Punk dalam satu album wajar dipuji kerana sedikit sebanyak memberi petanda bahawa muzik sebegini belum mati dan masih ada peminatnya.
Penulis sendiri lebih mengenali dan menghafal lagu-lagu Skinhead Malaysia berbanding karya-karya dari luar negara. Fenomena ini amat luar biasa suatu ketika dahulu jika dikenang kembali. Cop mohor Eastern Oi! yang melodik dan dibayangi nuansa rock acuan tempatan membuatkan majoriti anak-anak muda waktu itu lebih memilih untuk mendengar dan menyokong adikarya anak watan dan jumlah jualan album juga amat membanggakan walaupun tanpa sebarang promosi besar-besaran.
Muzik Oi! Malaysia sentiasa ada tempat istimewa di hati penulis dan penulis masih menyimpan banyak CD-CD album Oi! Malaysia dan akan dilayan di kereta sewaktu memandu kerana mampu menyegarkan mata dan menimbulkan perasaan bangga dan semangat.
Harapan penulis agar lebih banyak band baharu meneruskan legasi gergasi-gergasi Oi! terdahulu dan peminat-peminat lama pula tidak boleh tidak, perlu menyokong usaha mereka. Mana tahu, era kegemilangan tersebut bakal kembali sekali lagi?
“Siga Saga Oi! Oi! Oi!”
Penulis tinggalkan kalian dengan koleksi foto-foto klasik scene Skinhead/ Punk di Kuantan dan Kuala Lumpur circa pertengahan 90an hingga awal 2000an. Kredit: M Iqbal Hamid.