Ideanya ringkas, mahu menyambut kepulangan dua nama yang pernah menghiasi industri muzik negara: Syarul Reza dan Raja Shahirah. Kedua-duanya merupakan vokalis Lab The Rat – kugiran pop alternatif yang pernah popular lebih sedekad lalu.
Dengan idea asas itu, Lab The Rat bersama kugiran rock alternatif, motherwit mengatur sebuah acara yang menggabungkan beberapa elemen penting: menemukan bakat lama dengan baharu, bersifat keraian dan menyeronokkan serta membangkitkan nostalgia.
Hasilnya, gig yang dinamakan sebagai Ubat Rindu akan dianjurkan pada 14 Oktober ini, bertempat di Live Fact, Kota Damansara.
Gig ini turut membariskan tiga kugiran selain Lab The Rat dan motherwit, iaitu unit post-hardcore baharu, Tarimosi; kugiran folk-pop adik-beradik, The Impatient Sisters dan pembuka pentas Muse di Malaysia, Kyoto Protocol.
Wakil penganjur, Ku Syafiq Ku Fozi berkata, kugiran-kugiran yang dipilih membarisi gig ini boleh mewakili perkembangan muzik alternatif sejak hampir 20 tahun lalu.
“Lab The Rat tertubuh pada 2004, fasa awal letusan indie di Malaysia. Lagu-lagu mereka menghiasi pelbagai rancangan televisyen dan radio pada penghujung dekad 2000-an.
“Begitu juga Kyoto Protocol dan The Impatient Sisters yang muncul kemudian. Malah, kami tak lupakan platform untuk kugiran baharu seperti motherwit dan Tarimosi.
“Gig sentiasa menjadi nadi untuk lapangan muzik independen. Melalui Ubat Rindu, kami nak raikan bakat muzik tanpa mengira generasi dan genre,” katanya.
Wakil penganjur dari Lab The Rat, Mosyuki Borhan pula berkata, gig itu antara lain dianjurkan untuk memenuhi hasrat Syarul dan Shahirah yang sudah sekian lama tidak membuat persembahan.
Kedua-dua mereka berhijrah ke Australia pada 2014 untuk bekerja dan kepulangan mereka kali ini, selain untuk bercuti, adalah untuk merasai semula keterujaan beraksi di atas pentas.
“Ketika buat keputusan untuk ke Malaysia, mereka berdua minta kami atur satu acara. Dengan kerjasama motherwit, kami anjurkan Ubat Rindu.
“Syarul dan Shahirah memang tidak bermain muzik di Australia. Syarul mula menyanyi semula hanya setelah Tarimosi mengundangnya untuk tampil dalam lagu pertama mereka, Relapse.
“Pastinya persembahan Lab The Rat nanti akan mengubat kerinduan peminat tetapi lebih penting lagi, kami kumpulkan lima kugiran yang sangat berbakat atas satu pentas. Itu keistimewaan utama Ubat Rindu,” katanya.
Tiket Ubat Rindu dijual dengan harga rendah, iaitu RM37 sahaja. Ini bagi memastikan lebih ramai peminat mampu menghadirkan diri menyaksikan acara istimewa itu.
Ubat Rindu dianjurkan oleh Lab The Rat dan motherwit, yang menggelarkan kolaborasi itu sebagai Ibu Tikus.
Pembelian tiket boleh dilakukan dengan mengimbas kod QR pada poster atau klik di sini.