Selepas tiga dekad melakar sejarah dalam industri seni, band Indonesia yang tidak asing lagi dengan lagu-lagu cinta yang meruntun jiwa, Dewa-19 masih berjaya untuk kekal relevan di jiwa peminat-peminatnya.
Idea asal Ahmad Dhani mempersembahkan siri konsert kolabrasi bersama kumpulan orkestra bermula dengan Chapter 1 dan 2 di Jakarta, Indonesia, Chapter 3 di Surabaya dan Chapter 4 di Solo. Kuala Lumpur merupakan kota pilihan untuk hentian Chapter 5, yang bertempat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 29 September 2023. Dewa-19 juga mempunyai perancangan untuk meneruskan projek A Night At The Orchestra ini untuk chapter-chapter berikutnya di kota-kota besar yang akan diumumkan kelak.
Keistimewaan penampilan ulung Dewa-19 di dalam acara ini terletak pada kolaborasi dua buah negara di mana band dari Indonesia ini bergabung tenaga bersama-sama 54 pemuzik filharmonik orkestra dari Malaysia dan juga penampilan istimewa tiga orang penyanyi yang mempunyai lontaran vokal yang mantap, juga dari Malaysia, yang dipersetujui sendiri oleh Ahmad Dhani iaitu Shila Amzah, Jaclyn Victor dan Amir Masdi.
Menurut Ahmad Dhani, konsert kali ini ternyata berbeza berbanding konsert Dewa-19 di Malaysia tahun lalu. Mereka tidak kecewa jika penonton tidak bergoyang pada acara kali ini seperti kebiasaannya, malah mensasarkan penonton yang hadir adalah mereka yang serius menikmati muzik Dewa-19. Pilihan senarai lagu juga kebanyakannya terdiri daripada lagu yang serius, yang memerlukan penonton untuk kekal duduk di tempat masing-masing sambil menikmati hasil seni yang dipersembahkan, sesuai dengan konsep orkestra yang mereka tampilkan. Seiring dengan usia yang semakin meningkat, citarasa terhadap muzik juga akan turut meningkat kerana muzik adalah makanan jiwa setiap insan.
Pemuzik orkestra yang dipilih terdiri daripada golongan muda di mana ia berjaya menampilkan satu formasi yang segar dan harmoni. Acara yang bertemakan Malam Gala ini mengajak penonton untuk mengikuti dress code, iaitu lelaki bersuit, blazer atau pakaian tradisional dan perempuan mengenakan evening gown, long dress atau pakaian tradisional. Semua penonton yang hadir tidak melepaskan peluang untuk memperagakan fesyen masing-masing agar tampil menarik dan menjadikan suasana malam acara menjadi elegen, berseni dan sofistikated.
Stadium Axiata Arena bergema dengan laungan dan sorakan penonton mengiringi barisan masuk pemuzik orkestra pada jam 8.42 malam. 10 minit kemudian, acara dimulai dengan alunan lagu Bohemian Rhapsody yang menampilkan Ahmad Dhani sebagai konduktor dan kemudiannya diambil alih oleh Guntur Nur Puspito pada lagu berikutnya. Penonton bersorak kegirangan apabila Ello masuk ke gelanggang pentas dan menyanyikan lagu hits Dewa-19 sepanjang tiga dekad ini, Arjuna. Lagu pembukaan yang membuatkan bulu roma penonton berdiri tegak, dengan lenggok tubuh dan suara Ello yang seksi, sangat mengujakan setiap mata dan telinga yang menatapnya. Ello juga mempersembahkan lagu Elang, Sudah dan Pupus, melengkapkan lagi Malam Gala yang penuh bermakna ini dengan gabungan hasil seni suara Ello dan pemuzik orkestra.
Penonton semakin tidak senang duduk di tempat masing-masing dengan kehadiran Virzha di atas pentas. Berpadu suara bersama Ahmad Dhani di dalam lagu yang rancak, Pangeran Cinta, membuatkan penonton bergoyang menikmati indahnya susunan melodi Ahmad Dhani. Suara dan aksi Virzha di atas pentas mencairkan hati penonton di dalam lagu berikutnya, Dewi. Iya Virzha, Aku Cinta Padamu Sampai Mati! Hampir semua lagu yang dinyanyikan Virzha membuatkan gadis-gadis dan ibu-ibu mencair dengan perasaan cinta. Siapa sahaja yang tidak terbuai dengan lagu-lagu seperti Risalah Hati, Selimut Hati, Lagu Cinta dan Kosong? Bisa membuatkan ibu-ibu terlupa anak-anak yang ditinggalkan di rumah dan suami yang berada di sebelah!
Kemunculan penyanyi undangan dari Malaysia menambah penyedap rasa acara. Gabungan lontaran suara Shila Amzah dan Jaclyn Victor dalam lagu Begitu Benar, Begitu Salah dan Ello dan Amir Masdi dalam lagu Bohemian Rhapsody cukup padu dan memukau. Shila Amzah dan Jaclyn Victor masing-masing turut menyanyikan lagu secara solo iaitu Immortal Love Song dan Bukan Cinta Manusia Biasa. Tidak silap percaturan Ahmad Dhani memilih mereka di dalam acara ini bagi melengkapkan suasana sofistikated majlis. Ahmad Dhani turut menyatakan akan mengeluarkan lagu bersama Shila Amzah yang boleh diakses melalui Spotify tidak lama lagi.
Kebolehan Ahmad Dhani mencipta lagu tidak dapat dipertikaikan lagi, namun bukan itu sahaja, bakat nyanyian Ahmad Dhani juga cukup mempesonakan. Mempunyai suara lelaki sejati, dengan setiap lontaran bait lirik yang dihayati dengan amat baik sehingga menusuk ke lubuk sanubari penonton yang mendengarnya pasti membuatkan jantung penonton berdetak lebih kencang. Ahmad Dhani mempersembahkan lagu cover dari Barry Manilow, Frank Sinatra dan P. Ramlee iaitu lagu Could It Be Magic, My Way dan Madu Tiga. Ahmad Dhani juga turut menyanyikan lagu berhantu Dewa-19 iaitu Aku Cinta Kau dan Dia dan Sedang Ingin Bercinta.
Saat yang paling dinantikan oleh setiap peminat Dewa-19 tentulah menonton persembahan Ari Lasso di hadapan mata secara live. Beliau tampil dengan lagu-lagu yang mempunyai lirik yang sangat dekat dengan hati penonton iaitu Cinta Kan Membawamu Kembali, Satu, Dua Sedjoli, Kangen dan Kirana. Gabungan paduan suara Ari Lasso dan Ahmad Dhani dalam lagu Hadapi dengan Senyuman dan Persembahan Dari Surga juga sangat menyentuh perasaan. Di setiap selingan lagu, Ari Lasso tidak lupa untuk menyelitkan unsur-unsur pesanan dan nasihat kepada para penonton dan sedikit simple jokes bersama Ahmad Dhani bagi menceriakan suasana.
Malam diakhiri dengan cukup indah dengan paduan vokal ketiga-tiga penyanyi Dewa-19; Ello, Virzha dan Ari Lasso di dalam lagu Separuh Nafas. Penonton bersama-sama berdiri dan menari di tempat masing-masing. Dengan percikkan confetti berwarna emas membuatkan penonton menyanyi dan menari keriangan. 3 jam dan 30 lagu yang dipersembahkan bagaikan berlalu begitu sahaja. Selain Ahmad Dhani, tenaga luar biasa yang dipamerkan oleh Andra (gitar), Yuke (bass), Agung (dram) dan Tyo (dram) wajar diberi pujian. Bagaikan masih berada di usia 20-an, masing-masing cukup tenang dan menghiburkan dalam 3 jam tersebut bersama penonton. Pemuzik orkestra dari Malaysia juga dipuji secara peribadi oleh Ahmad Dhani yang dikatakan mempamerkan hasil seni yang lebih baik berbanding orkestra di Indonesia.
Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh team penganjur Iman Tang dan lcon Entertainment yang berjaya menganjurkan Dewa-19 A Night At The Orchestra Chapter 5 dengan cukup baik sekali. Terima kasih kerana mengembalikan semula rasa remaja dalam setiap diri penonton dengan suntikan elemen yang lebih dewasa dan matang seperti ini. Moga muzik akan terus menjadi santapan jiwa di hati mereka yang bahagia menikmatinya.