Selalunya, kita mempunyai cita-cita yang tinggi dalam memiliki kumpulan muzik yang terkenal di seluruh dunia. Mempunyai peluang untuk melakukan album world tour seluruh dunia dan sering dijemput ke konsert-konsert besar seperti Tommorowland, Coachella, Good Vibes, Summer Sonic Festival, Glastonbury dan sebagainya. Namun, semuanya jadi angan-angan apabila kumpulan muzik yang ditubuhkan tidak sehaluan dan banyak lagi masalah.
Sebenarnya, kucar-kacir dalam kumpulan muzik itu bukanlah halangan besar kerana ada satu kumpulan muzik yang gagal dalam pelbagai aspek namun mendapat perhatian sehingga ke hari ini. Siapakah mereka?
The Shaggs: Sebuah kumpulan yang ditubuhkan oleh bapanya sendiri
Tiga adik-beradik yang berasal dari Fremeont, New Hampshire, iaitu Dorothy “Dot” Wiggin sebagai gitaris utama dan vokal utama, Betty Wiggin sebagai pemain gitar irama dan vokal dan Helen Wiggin sebagai pemain drum. Ceritanya, mereka semua dipaksa oleh bapanya untuk menubuhkan sebuah kumpulan.
Perkara yang paling kelakar ialah bapanya memberikan nama kumpulan “The Shaggs” kerana termakan umpan oleh seorang peramal bahawa nama itu akan membuat mereka popular. Ye, memang betul mereka terkenal tetapi…
Berlakunya kecalaruan susunan muzik dalam The Shaggs
Kalau mahu label The Shaggs sebagai kumpulan muzik berkecelaruan muzik, mungkin ia adalah definisi yang amat sesuai. Hal ini kerana gaya muzik mereka agak pelik, susunan struktur lagu sangat janggal, irama muzik yang tidak selari serta nyanyian yang sumbang.
Sepanjang The Shaggs berkarya, mereka pernah mengeluarkan sebuah album berjudul “Philosophy of the World” pada tahun 1969. Cuba andar dengan lagu “My Pal Foot Foot”, pastinya akan timbulkan pelbagai persoalan dalam minda.
Meskipun menjadi perdebatan, namun The Shaggs dijadikan sebagai idola
Walaupun sering menjadi perdebatan mengenai bagaimana The Shaggs boleh ditubuhkan, tetapi album “Philosophy of the World” menjadi ‘petunjuk arah’ buat pemain muzik alternatif. Seringkali dikutuk kerana lagu-lagunya yang tidak teratur, tetapi sering dikaitkan mereka menjadi diri mereka sendiri.
Setelah beberapa dekad, album ini mula mendapat pujian dan respon positif oleh beberapa pemuzik serta peminat muzik alternatif. Mereka menganggap The Shaggs sebagai inspirasi. Antaranya, Kurt Cobain dan Frank Zappa.
The Shaggs membuktikan yang segala perkara buruk adalah cantik
Memecahkan tembok stereotaip bahawa setiap perkara buruk adalah cantik, itulah apa yang boleh dikatakan kepada The Shaggs. Semasa waktu puncak The Shaggs, mereka selalu kena maki dan mendapat kritikan kerana mereka dianggap tidak layak untuk berada dalam dunia muzik.
Walau bagaimanapun, selang beberapa zaman, The Shaggs mendapat perhatian kerana muziknya yang unik dan berani menjadi diri mereka sendiri. Turut menjadi inspirasi oleh semua orang yang meminati muzik alternatif. Mereka juga menjadi definisi bahawa muzik boleh hadir dalam pelbagai bentuk.