Edrie Hashim, seorang pemuzik yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia yang juga merupakan seorang komposer, jurutera bunyi dan penerbit rakaman Neogendang Records berasa teruja apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan Ideas Kuala Lumpur bagi menjayakan ‘Open Jam Session @ Ideas KL’. Ini merupakan kerjasama strategik yang pertama di Malaysia dengan menampilkan artis seperti Kumpulan Candy, Maman Teacher’s Pet, Asheed DefGabC, Artis Neogendang Records dan ramai lagi pada setiap malam bermula pada 16 Jun 2023 yang bertemakan muzik ‘live’ di Poolside Bistro, Ideas Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah saya diberi kepercayaan oleh Ideas Kuala Lumpur untuk membawa semula artis-artis tempatan yang mempunyai kekuatan vokal yang mantap dan masih relevan dalam industri untuk membuat persembahan secara ‘live’. Saya mahu jadikan platform Open Jam Session ini sebagai hab hiburan dan peluang kepada mana-mana artis tempatan yang ingin kembali aktif dalam industri muzik. Kalau boleh kita mahu jadikan projek ini seperti Mini Planet Hollywood,” kata Edrie Hashim.
Selain daripada ingin membantu artis tempatan untuk kembali aktif, Edrie Hashim juga berharap agar peminat muzik di luar sana hadir dan menikmati makanan yang menyajikan minuman dan makanan Halal di Poolside Bistro yang berkemampuan untuk menampung seramai 90 orang dalam satu masa sambil menikmati keindahan suasana, susun atur hiasan dalaman yang ‘urban’ dan ditemani muzik ‘live’ menggunakan peralatan yang bertaraf lima bintang. Lebih istimewa buat Edrie apabila gitar kesayangan beliau yang dimiliki olehnya sejak mula berkecimpung dalam industri ini turut dipamerkan di restoran Poolside Bistro sebagai simbolik menaikkan kembali semangat pemuzik tempatan untuk kembali aktif memeriahkan lagi dunia muzik Malaysia.
Impian untuk melaksanakan ‘Open Jam Session’ ini semestinya tidak akan terealisasi tanpa sokongan padu daripada Ideas Kuala Lumpur yang seiring dengan matlamat utama mahu memartabatkan industri muzik tempatan. Restoran Poolside Bistro dipilih sebagai lokasi untuk hiburan ‘live’ kerana bersesuaian dengan profil tetamu di sini yang sentiasa mencari keunikan dan citarasa makanan bertaraf antarabangsa. “Ideas Kuala Lumpur merupakan lokasi yang strategik untuk peminat muzik tempatan kerana sejak dari dahulu tetamu yang datang menginap di sini akan mencari aktiviti malam yang ‘live and happening’ dan mereka akan datang ke sini untuk bertemu dengan artis dan kumpulan pemuzik yang mereka suka. Jadi, amatlah strategik dan tepat keputusan kami untuk bekerjasama dengan Edrie yang pakar dalam bidang pengurusan muzik dan artis,” kata Tengku Ahmad Faizal, Pengurus Besar Golden Peak Hospitality & Consultancy.
“Kami berharap agar usaha ini disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada pemuzik tempatan dan boleh bawak ahli keluarga dan rakan-rakan hadir ke ‘Open Jam Session @ Ideas KL’ sambil menikmati hidangan yang enak dan ditemani muzik ‘live’ bertaraf antarabangsa” kata Edrie.
“Jutaan terima kasih ingin saya ucapkan kepada semua rakan media yang sudi hadir bagi memeriahkan sidang media ‘Open Jam Session @ Ideas Kuala Lumpur’ pada hari ini, di sini juga saya ingin berterima kasih kepada rakan penganjur Ideas Kuala Lumpur dan rakan pengurusan media Enfineight Asia Solutions.”
“Kami berharap agar mana-mana penggemar muzik berlainan genre dapat hadir bersama memeriahkan ‘Open Live Session’ tidak kira apa jua jenis muzik yang disukai kerana muzik yang kami bawakan adalah untuk semua dan bersifat universal,” akhiri Edrie.