Di sebalik kemeriahan sambutan Tahun Baru 2025 seluruh pelusuk Malaysia dari KL (TRX, KLCC, Putrajaya), Melaka hingga ke JB yang boleh disifatkan paling meriah berbanding era sebelum ini, festival Pinkfish Countdown di Surf Beach, Sunway Lagoon yang membariskan aksi-aksi ternama Blasterjaxx, Showtek dan Sara Landry kurang bernasib baik apabila mencatatkan 4 kematian dipercayai ‘overdose’ (OD) selepas menghadiri konsert berkenaan pada ambang 1 Januari 2025. Menurut sumber polis 7 kes diterima melibatkan simptom yang sama selepas konsert tersebut.
Namun begitu, ia bukanlah terlalu mengejutkan atau perkara baharu.
Untuk rekod, kematian dalam festival Electronic Dance Music (EDM) pernah dicatat 10 tahun lepas iaitu di Future Music Festival Asia (FMFA) di Bukit Jalil, KL pada Mac 2014 lagi. Dalam festival yang dijadualkan 3 hari itu, sebanyak 6 kematian berlaku pada hari ke-2 menyebabkan ia terus diberhentikan.
Edisi Pinkfish Countdown 2025 membawakan cabang EDM yang agak berat dan ‘hardcore’ iaitu Hardstyle, Hard Techno serta sedikit elemen Psytrance berbanding apa yang biasa didengar di litar arus perdana. Dari segi muzikal, pastinya ia jauh lebih berat daripada Alan Walker serta suasana yang barangkali lebih kental daripada Freak Off P. Diddy.
Walaupun ekstrim, tetapi ia menjadi pilihan kerana sebahagiannya mengandungi unsur ‘psychedelic‘ yang dikatakan ‘main jiwa’ dan tidak hairanlah, juga dipetik sebagai Galau Elektro.
Pilihan dan Tanggungjawab Individu
Dalam konteks ini, penganjur mungkin tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana awal-awal lagi telah ditetapkan kepada patron untuk menghindari konsumsi bahan-bahan terlarang dalam festival. Manakala aspek kawalan keselamatan termasuk anjing-anjing K9 juga ditempatkan di sekitar lokasi festival.
Maka akhirnya ia terserah kepada empunya badan dan pilihan individu sendiri untuk lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam menikmati festival.
Nasib Pinkfish mungkin tergantung kerana namanya sudah membawa badi kematian namun pemilik boleh saja menukar nama, konsep dan aturcara pada masa hadapan.
Teori Medan Ujikaji Dadah Sintetik
Terdapat teori bahawa festival-festival EDM menjadi Medan Ujian Dadah Sintetik Baharu oleh entiti tertentu bagi menguji kebolehpasarannya sebelum dilepaskan kepada awam. Bahan-bahan terlarang sintetik seperti pil sering mengalami ‘penambahbaikan’ secara chemical saban tahun dan bagi menguji tahap keberkesanan dan kepiawaiannya (‘piau’), maka tiada tempat yang lebih sesuai selain festival-festival elektronik ini.
Ditambah lagi dengan pancutan visual laser dan hempukan drum kick per BPM (beat per minute) sepanjang malam, tidak hairanlah ia boleh mempengaruhi bergantung kepada faktor ketahanan individu. Menurut sumber, Eropah antara medan awalan sejak awal 2000-an terutama bahan sintetik dari makmal-makmal sindiket antarabangsa.
Rangsangan Ekonomi Kreatif
Cakap-cakap ini salah kerajaan atau politikal lain adalah sesuatu yang dangkal kerana ia adalah satu kaedah menjana ekonomi kreatif melalui pungutan cukai dan hasil hiburan daripada artis-artis antarabangsa yang sudah sejak azali lagi mendapat permintaan tinggi. Sedangkan negara Arab turut menggalakkan penganjuran konsert sebagai norma budaya kemasyarakatan, inikan pula negara kita yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan etnik?
Untuk makluman juga, kerajaan telah menyediakan suhu kondisi (climate) yang sangat baik bagi penganjuran konsert antarabangsa yang juga menyumbang kepada ekosistem muzik tanahair namun selebihnya terletak pada kesedaran rakyat dan individu.
Mengapa tiada kematian direkodkan di konsert-konsert Metal / Muzik Keras
Secara komparatif, jarang atau tiada kematian direkod dalam festival genre Metal atau muzik keras seumpamanya. Ini sesuatu yang menarik untuk ditelusuri dan dalam hal ini, mat-mat metal atau ‘metalheads’ mungkin disifatkan lebih ‘civilised’ atau berhemah berbanding kalangan pengikut genre muzikal lain dari segi aspresiasi muzik.
Konsep ‘Kita Jaga Kita’
Konsep ‘Kita Jaga Kita’ perlu digunapakai dalam festival-festival sebegini kerana sebagai rekreasi hiburan yang positif, kita tidak mahu ia disalahguna oleh anasir-anasir yang tidak bertanggunggungjawab sehingga membawa kepada kematian atau insiden yang tidak diingini.
Kita tidak boleh menghalang penganjuran festival-festival bercorak EDM pada masa depan namun antara cadangan yang boleh dipertingkatkan ialah amalan drug-testing kit kepada para pengunjung.
Apa yang penting, hiburan dan muzik tidak boleh dipersalahkan kerana ia adalah lumrah dan fitrah semulajadi manusia namun pendekatan yang lebih proaktif perlu ditekankan terutama dari aspek keselamatan dan pematuhan larangan bahan-bahan terlarang kepada para ‘ravers’.
#ChivasAlexandria