Kumpulan metal terkenal tanah air, As Our Throne (AOT) telah melakar satu lagi pencapaian hebat dengan pelancaran single terbaharu mereka, “Taubah.”
Lagu ini bukan sahaja dinantikan oleh peminat setia tetapi juga mencerminkan evolusi dan komitmen kumpulan ini dalam memperkasakan bunyi metal dengan melodi yang unik dan mendalam.
Mengangkat tema refleksi diri, penebusan dan perjuangan dalaman, Taubah membawa mesej bermakna yang tidak hanya terhenti pada muzik semata-mata. Dengan riff gitar yang memukau, paluan dram yang bertenaga dan vokal penuh emosi, lagu ini adalah cerminan perjalanan AOT dalam meneroka sisi baharu muzik mereka. Fazlur Redza, vokalis dan penulis lirik AOT menyifatkan lagu ini sebagai sangat peribadi.
“Ia mencerminkan perjalanan menghadapi bayangan sendiri dan mencari harapan dalam proses itu. Kami sangat teruja untuk peminat merasai bab baharu dalam perjalanan muzik kami,” jelasnya.
Ditubuhkan pada tahun 2011, AOT merupakan antara pelopor dalam persada muzik metal Malaysia dengan pendekatan inovatif terhadap melodic metalcore. Lagu-lagu mereka, termasuk dalam album EP 30:30, sering menyampaikan mesej bermakna dengan sentuhan penceritaan yang mendalam namun kembalinya mereka dalam persada muzik dan meluncur single seperti Thoriq, Haq, dan kini menonjolkan kesinambungan tema yang menekankan fitrah manusia serta kebenaran hakiki.
Sejak penubuhannya, AOT telah berkongsi pentas dengan ramai artis terkenal tempatan dan antarabangsa, termasuk nama besar seperti Burgerkill, Miss May I dan Revenge the Fate. Persembahan mereka tidak hanya meraikan kehebatan muzik metal tetapi juga mencabar persepsi bahawa genre ini bukan sekadar tentang bunyi agresif. Sebaliknya, mereka mempersempahkan metal sebagai sebuah seni yang penuh nuansa, ekspresi dan makna.
Menerusi lagu-lagu terdahulu seperti System dan Anonymous dalam EP 30:30, AOT membawa mesej tersirat mengenai cabaran sistem duniawi dan perlunya manusia kembali kepada fitrah. Namun, dalam Taubah, mereka memilih untuk menyampaikan mesej secara terus terang, menjadikannya lebih mudah difahami dan menyentuh hati pendengar.
Dalam satu wawancara, anggota AOT menegaskan bahawa mereka tidak mencari populariti semata-mata. Sebaliknya, tujuan utama mereka wujud adalah untuk menyampaikan mesej yang bermakna kepada pendengar.
“Muzik adalah hubungan dua hala antara pemberi dan penerima. Bila ada pihak yang menerima, maka berikanlah sesuatu yang berguna,”
Dengan prinsip ini, AOT membuktikan bahawa metal bukan sekadar bunyi bising tetapi sebuah genre yang kaya dengan emosi, cerita dan inspirasi.
Lagu Taubah kini boleh didengar di semua platform muzik digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. Video muzik rasmi turut tersedia di saluran YouTube kumpulan ini, memaparkan visual yang memperkukuhkan mesej lagu. Mereka juga menjanjikan lebih banyak kejutan dalam beberapa bulan akan datang, termasuk album baharu yang dijadualkan rilis pada tahun 2025.
AOT turut meluahkan penghargaan kepada peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan mereka. “Teruskan menyokong karya muzik tempatan. Nantikan lebih banyak kejutan daripada kami, Insya-Allah,” kata Faz, Ezki, Awe dan Raja mewakili kumpulan.
Dengan Taubah, AOT sekali lagi membuktikan bahawa muzik boleh menjadi alat perubahan, menyatukan manusia dan menyampaikan kebenaran. Sebagai peneraju metal Malaysia, mereka terus melangkah ke hadapan, membina legasi yang akan dikenang generasi akan datang.
Ikuti perkembangan As Our Throne di: